KUALA LUMPUR: “PRK kali ini akan menunjukkan kepada DAP bahawa orang bukan Melayu bukan lagi deposit kepada parti itu.”
Itu pendapat Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu yang dikatakan bakal menyaksikan persaingan wakil daripada Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Sama ada PN atau PH, kedua-duanya belum menamakan calon daripada parti mana akan bertanding. Namun, DAP dan Gerakan dilihat melobi untuk bertanding di kawasan berkenaan.
Dominic berkata, Gerakan bukan parti asing buat pengundi di Kuala Kubu Bharu kerana parti itu pernah bertanding di kerusi itu, namun calonnya Teoh Lien Hong tewas kepada penyandangnya Lee Kee Hiong dengan majoriti 4,119 undi.
“Ini bukan PH lawan PN, tetapi DAP lawan Gerakan. Yang kita tahu Gerakan dan DAP ini memang tidak boleh bekerjasama. Sebab itu saya katakan PRK ini akan menunjukkan kepada DAP yang orang bukan Melayu bukan deposit bagi mereka.
CALON
“Sebab itu kita nak pertahankan kerusi Kuala Kubu Bharu ini supaya meletakkan calon dari Gerakan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Bagaimanapun, kata beliau, perbincangan akan dibuat dengan pemimpin PN minggu ini berikutan urusan persiapan menghadapi PRK akan dibuat bermula minggu hadapan.
Ditanya sama ada Gerakan akan memberi peluang kepada Bersatu atau Pas untuk meletakkan calon Melayu, mengambil kira jumlah populasi di kawasan berkenaan, Dominic berkata, pihaknya juga mempunyai calon Melayu, sekali gus menjelaskan Gerakan harus menjadi pilihan untuk mewakili PN.
“Kita sendiri ada lima calon iaitu bekas calon kita dan empat lagi adalah Melayu, Cina, India dan Singh. Kita nak tengok calon mana yang boleh menang.
“Walaupun ini adalah kerusi Gerakan, tetapi kita nak juga bincang dengan Bersatu dan Pas, siapa yang paling layak,” katanya lagi.
Mengulas calon Melayu, Dominic turut berkata, pihaknya belum membuat keputusan mengenai perkara itu.
Namun dengan mengambil kira keadaan sekeliling, Dominic berkata, calon Melayu dilihat mampu menyumbang kepada kemenangan berdasarkan kepada sentimen yang dibawa PN.
“Kita buat anggapan bahawa pada PRN lalu, orang bukan Melayu atau Cina menyokong PH.
Tetapi, kali ni kita tidak tahu. Jika anggapan yang sama iaitu masyarakat Cina mengundi PH, dan mereka mungkin akan meletakkan calon Melayu yang lebih sesuai untuk dapatkan kemenangan. – UTUSAN











