Hukuman Najib: Tengku Zafrul akan mefailkan afidavit betulkan fakta

Hukuman Najib: Tengku Zafrul akan mefailkan afidavit betulkan fakta

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavit bagi memperbetulkan beberapa kesilapan fakta berhubung tahanan di rumah membabitkan Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, beliau secara rasminya telah melihat afidavit tambahan yang diikrarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam prosiding undang-undang dimulakan oleh Najib, hari ini.

Susulan itu, menurutnya, beliau telah mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai berhubung perkara tersebut dan akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavit dengan tujuan memperbetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit Ahmad Zahid.

“Pendirian saya bukan untuk mempertikaikan merit isu yang sedang berlangsung. Saya hanya ingin memastikan bahawa fakta sebenar direkodkan dengan betul supaya
semua pihak, khususnya Mahkamah Tinggi, dapat menilai kesemua fakta material dengan sewajarnya.

“Ini akan membolehkan keputusan yang adil dan saksama dibuat demi kepentingan semua pihak yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengesahkan telah melihat dan membaca titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman pemenjaraannya di rumah.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menyokong bekas Perdana Menteri itu berhubung dakwaan kewujudan titah adendum (tambahan) agar Najib menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah melalui satu afidavit sokongan yang difailkan pada 9 April lalu.

Afidavit itu bagi menyokong semakan kehakiman yang difailkan oleh Najib berhubung titah tersebut.

Berdasarkan afidavit tersebut, Ahmad Zahid memberitahu, beliau telah dikunjungi Tengku Zafrul di rumahnya di Country Heights pada 30 Januari lalu.

Pada pertemuan tersebut, Tengku Zafrul didakwa menunjukkan titah tersebut yang berada di dalam telefonnya yang mendakwa telah mengimbas daripada salinan asal titah adendum itu.

“Kandungan Titah Adendum secara jelas menyatakan bahawa pemohon (Najib) dibenarkan untuk menjalani hukumannya yang dikurangkan kepada ‘tahanan rumah’ dan bukannya secara pemenjaraan seperti sekarang di Penjara Kajang.

“Saya juga melihat bahawa Titah Adendum itu bertarikh 29 Januari 2024 dan mempunyai meterai dan tandatangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVI. Saya seterusnya mengesahkan bahawa Titah Adendum itu adalah tulen dan sebenarnya adalah Titah Prerogatif Diraja sama seperti Titah Utama,” kata Ahmad Zahid dalam afidavit sokongan itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×