AGC akan bawa permohonan Tengku Zafrul ke perhatian mahkamah

AGC akan bawa permohonan Tengku Zafrul ke perhatian mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan membawa permohonan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz untuk memfailkan afidavit bagi memperbetulkan beberapa kesilapan fakta berhubung pemenjaraan di rumah Datuk Seri Najib Razak, ke perhatian mahkamah.

Badan perundangan itu dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah merujuk kepada kenyataan media dikeluarkan Tengku Zafrul berhubung Afidavit Tambahan Ketiga yang diikrarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 9 April 2024 dalam prosiding undang-undang yang dimulakan oleh Najib di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Jabatan Peguam Negara akan membawa perkara ini kepada perhatian pihak mahkamah,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Tengku Zafrul dalam satu kenyataan berkata, beliau secara rasminya telah melihat afidavit tambahan yang diikrarkan Ahmad Zahid dalam prosiding undang-undang dimulakan oleh Najib, hari ini.

Susulan itu, menurutnya, beliau telah mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai berhubung perkara tersebut dan akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavit dengan tujuan memperbetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit Ahmad Zahid.

“Pendirian saya bukan untuk mempertikaikan merit isu yang sedang berlangsung. Saya hanya ingin memastikan bahawa fakta sebenar direkodkan dengan betul supaya semua pihak, khususnya Mahkamah Tinggi, dapat menilai kesemua fakta material dengan sewajarnya.

“Ini akan membolehkan keputusan yang adil dan saksama dibuat demi kepentingan semua pihak yang terlibat,” katanya.

Awal hari ini, Ahmad Zahid dalam afidavitnya mengesahkan telah melihat dan membaca titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman pemenjaraannya di rumah.

Sehubungan itu, beliau menyokong bekas Perdana Menteri itu  berhubung dakwaan kewujudan titah adendum (tambahan) agar Najib  menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah melalui satu afidavit sokongan yang  difailkan pada 9 April lalu.

Afidavit itu  bagi menyokong semakan kehakiman yang difailkan oleh Najib berhubung titah tersebut.

Berdasarkan afidavit tersebut, Ahmad Zahid memberitahu, beliau telah dikunjungi Tengku Zafrul di rumahnya di Country Heights pada 30 Januari lalu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×