PETALING JAYA: Sempadan Malaysia-Thailand yang dianggarkan sejauh 646 kilometer merupakan antara faktor utama pemilikan dan penyeludupan senjata api secara haram mudah dibawa masuk ke negara ini.
Ia susulan dua kes melibatkan pemilikan senjata api secara haram terbaharu yang dilaporkan boleh mengundang keresahan rakyat mengenai tahap keselamatan negara.
Pada 27 Mac lalu, seorang warga Israel yang ditahan bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Kemudian, pada Ahad lalu, insiden seorang lelaki melepaskan tembakan menggunakan sepucuk pistol jenis Glock 19 Austria berisi peluru hidup terhadap isterinya menyebabkan seorang pengawal peribadi yang berada di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami kecederaan parah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, penyeludupan secara api secara haram mudah dilakukan di sempadan melalui jalan darat, air, dan udara.
“Meskipun pengawasan telah ditingkatkan dengan mesin pengimbas di lokasi strategik di sempadan negara, namun ukuran dan keluasan sempadan yang besar merumitkan pemeriksaan oleh anggota keselamatan.
“Sebagaimana di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Mexico, mereka juga menghadapi cabaran dalam menjaga keselamatan sempadan negara, terutamanya dengan kewujudan lorong-lorong tikus dan aktiviti penyeludupan menggunakan sampan,” katanya.
Tambahnya, bagi memastikan insiden tersebut tidak berulang, kerajaan perlu meningkatkan peruntukan perisikan maklumat untuk pihak polis dan tentera bagi mengatasi pemilikan senjata api secara haram yang boleh mengancam keselamatan negara.
“Penambahan peruntukan itu diperlukan bagi memastikan proses perkongsian maklumat oleh pihak polis dan tentera mengenai individu yang cuba menyeludup senjata api secara haram dari sempadan negara mudah dikesan dengan cepat.
“Selain itu, tindakan pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang sedia ada perlu dipertingkatkan terhadap individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan pemilikan senjata api secara haram,” ujarnya.
Jelasnya lagi, undang-undang pelupusan harta bagi mana-mana individu yang memiliki senjata api secara haram juga boleh diwujudkan bagi memastikan keselamatan orang awam dan negara akan terus terpelihara. – UTUSAN










