TERENGGANU yang pernah mendapat julukan ‘Kuwait Malaysia’ kerana menjadi pengeluar minyak, bakal dikenali pula sebagai money state selepas dikenal pasti berpotensi menjadi antara negeri pengeluar unsur nadir bumi (REE) terbesar di negara ini.
Hasil kajian yang dilakukan mendapati Terengganu mempunyai taburan super magnet yang dianggarkan keluasan kawasan yang berpotensi adalah seluas 581,735 hektar dan mampu mengeluarkan sebanyak 7,187,500 juta tan bahan mentah tersebut.
Antara kawasan luluhawa granit tersebut dikesan terdapat di daerah Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman. Sementara itu, Malaysia dilaporkan memiliki sumber unsur nadir bumi tersebut yang dianggarkan berjumlah 16.1 juta tan dengan nilai komersial hampir RM1 trilion.
Antara negeri lain yang turut memiliki taburan sumber REE yang tinggi adalah Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Kelantan. Di peringkat dunia pula, China mengawal pasaran bagi unsur nadir bumi itu apabila menghasilkan kira-kira 70 peratus bekalan dan memproses hampir 90 peratus galian tersebut.
REE yang terdiri daripada 15 unsur dalam kumpulan Lantanid, Skandium dan Ytrium mendapat permintaan tinggi di pasaran kerana digunakan dalam peranti elektronik pengguna harian seperti komputer riba, kamera, televisyen dan telefon pintar.
Dalam pada itu, kerajaan Terengganu telah mengambil langkah awal dengan ‘merisik’ syarikat peneraju utama Teknologi Super Magnet di Korea Selatan, Star Group Industry Co. Ltd. untuk membina kilang berkaitan pemprosesan REE di negeri itu.
Syarikat tersebut yang menduduki tempat ketiga di peringkat global itu telah bersetuju untuk membina kilang berkaitan pemprosesan unsur nadir bumi itu di kawasan seluas kira-kira 40 hektar berhampiran Pelabuhan Kemaman pada awal suku ketiga tahun 2024.
Persetujuan pelaburan industri hijau hiliran hidrogen itu yang dianggarkan bernilai hampir RM1 bilion di Malaysia dicapai hasil lawatan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ke Korea Selatan pada Mac lalu.
Industri tersebut juga adalah antara fokus strategik pelan induk negeri PITAS 2030 – Pelan Induk Terengganu Sejahtera.
“Kita memanfaatkan aset terbaik negeri ini yang ternyata menjadi teknologi yang paling mendapat permintaan di seluruh dunia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Alhamdulillah, selesai Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Star Group Industries Co. Ltd.
“Doakan yang terbaik buat anak-anak Terengganu dan Malaysia,” tulis Ahmad Samsuri dalam Facebooknya baru-baru ini.
Pengeluaran REE merupakan antara sumber pendapatan baharu Terengganu untuk mengurangkan kebergantungan kepada petroleum dan gas seterusnya mencapai ekonomi yang berdaya tahan dan mampan pada masa hadapan.
Sebelum itu, kerajaan Terengganu telah menubuhkan Majlis Mineral REE sebagai platform pemudahcara urusan berkaitan dengan perlombongan dan pembangunan industri berkenaan pada 5 Oktober 2023.
Majlis tersebut dinaungi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan dipengerusikan oleh Ahmad Samsuri ditubuhkan bagi memastikan kedaulatan dan hak Terengganu sebagai pengeluar REE dapat dilindungi dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri.
Selain itu, majlis berkenaan turut berperanan dalam menentukan dasar dan hala tuju pembangunan berkaitan REE seperti mengadakan perbincangan royalti dan pembangunan peluang perniagaan, projek dan pembahagian peluang-peluang perniagaan.
SOP
Pada masa sama, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) perlombongan REE bagi memastikan aktiviti perlombongan dilakukan secara terkawal untuk mengelakkan kerosakan alam sekitar serta pencemaran.
SOP tersebut merangkumi semua perundangan yang sedang berkuat kuasa seperti Akta Pembangunan Mineral 1994, Enakmen Mineral Negeri, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
Kementerian itu sebelum ini berpendirian tidak menyokong dan tidak meluluskan sebarang aktiviti perlombongan termasuk REE jika dijalankan di kawasan hutan simpan kekal (HSK), rizab perlindungan dan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS).
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad pula dilaporkan berkata, pihaknya mengenal pasti penggunaan kaedah perlombongan REE secara in-situ leaching yang paling berkesan kerana kaedah itu lebih mesra alam sekitar, selain hanya membabitkan pembukaan tanah yang minimum untuk pengekstrakan mineral.
“Kaedah ini diyakini lebih selamat dan mesra alam berbanding kaedah perlombongan secara terbuka yang mengakibatkan lebih banyak pembersihan hutan akibat penebangan pokok,” katanya.
Kerajaan Persekutuan juga memandang serius pengeluaran REE apabila Parlimen pada 11 September 2023 mencadangkan bahan mentah nadir bumi diharamkan untuk eksport bagi mengelak eksploitasi dan kehilangan sumber serta menjamin pulangan maksimum untuk negara.
Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, Dasar Galian Negara yang baharu akan digubal untuk memacu pembangunan komprehensif industri mineral berdasarkan ‘prinsip kemampanan dan tanggungjawab’. – UTUSAN










