Lawrence Wong penamat legasi Lee Kuan Yew

Lawrence Wong penamat legasi Lee Kuan Yew

LEE Hsein Loong (kanan) dan Lawrence Wong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemilihan Lawrence Wong sebagai Perdana Menteri Singapura keempat bakal menamatkan legasi keluarga pengasas republik itu, Lee Kuan Yew selama dua generasi.

Ini kerana selepas anak sulung Kuan Yew iaitu Lee Hsien Loong selaku Perdana Menteri ketiga Singapura, maka selepas ini tiada lagi generasi ketiga keluarga pengasas Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu yang aktif dalam pentas politik republik tersebut.

Felo Kanan Akademi Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berkata, Lawrence yang bakal menggantikan Hsien Loong bakal memahat sejarah kerana bukan sahaja mengakhiri dinasti Kuan Yew, malah beliau merupakan generasi baharu Singapura kerana lahir selepas tujuh tahun negara itu ditubuhkan.

Katanya, dua Perdana Menteri Singapura sebelum ini merupakan generasi awal penubuhan republik itu sekali gus pernah menyaksikan jatuh naik negara itu di bawah kepimpinan Kuan Yew.

“Legasi keluarga Kuan Yew tamat dengan persaraan Hsien Leong pada 15 Mei nanti, kerana pada hakikatnya sejak Singapura ditubuhkan, maka keluarga pengasas PAP itu yang mendominasi tampuk kepimpinan negara.

“Walaupun pengganti Kuan Yew iaitu Goh Chok Tong selaku Perdana Menteri kedua pernah dilantik bukan daripada kaum keluarga tetapi anak sulungnya, Hsien Loong pula terpilih sebagai Perdana Menteri pada 2004.

“Jadi kali ini Lawrence merupakan generasi baharu, beliau dilihat jauh berbeza dengan generasi dan corak legasi kepimpinan Singapura dan PAP sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Hsien Leong mengumumkan pengunduran sebagai Perdana Menteri manakala Lawrence bakal mengambil alih pucuk pimpinan pada 15 Mei ini.

Lawrence kini Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan merupakan seorang ahli ekonomi berusia 51 tahun berpendidikan Amerika Syarikat (AS) dilihat secara meluas sebagai ahli media sosial yang bijak menangani krisis Covid-19 dengan berkesan selepas menyelia pasukan petugas pandemik kerajaan.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, pelantikan Lawrence bakal membawa lembaran baharu kepada Singapura apabila dilihat memiliki gaya kepimpinan berbeza berbanding tiga Perdana Menteri sebelum ini di samping bukannya dalam kalangan pilihan pertama untuk menggantikan Hsien Leong.

“Namun begitu, Lawrence telah diberikan tempoh untuk mengemudi Singapura dengan diberi peranan penting termasuk Menteri Kewangan sekali gus membawa keluar negara itu daripada ketidaktentuan ekonomi yang berlaku di rantau ini,” katanya.

Justeru itu, katanya, ia bakal memberikan nafas baharu Singapura apatah lagi PAP selaku parti pemerintah bakal berhadapan persaingan sengit dalam pilihan raya umum yang dijangka berlangsung pada penghujung tahun ini.

“Ia merupakan permulaan legasi kepimpinan baharu bagi Singapura sejak negara itu keluar daripada Malaysia. Mungkin Lawrence bakal memberi harapan baharu bahawa negara itu tidak lagi terikat dengan mana-mana legasi selepas ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×