SEREMBAN: Seorang jurugambar tidak sangka perkongsian videonya di TikTok mengenai khidmat merakam gambar pelanggan di hadapan Masjid Sri Sendayan di sini, menjadi tular dan menerima banyak tempahan sempena Aidilfitri.
Nur Diana Mohamad, 38, berkata, tahun sebelum ini, dia hanya menawarkan khidmat merakam gambar keluarga pelanggan di hari raya melalui rumah ke rumah sahaja.
Bagaimanapun, menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris) (Kepujian), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu, selepas video khidmatnya tular, dia mula banyak dihubungi oleh individu yang berminat dengan khidmat tersebut.
“Saya buat perkhidmatan merakam gambar keluarga masa raya sudah beberapa tahun, selalunya buat dari rumah ke rumah. Tetapi tahun ni rezeki menerusi TikTok, itu yang saya hanya fokus pada Masjid Sri Sendayan.
“Bagaimanapun, saya tidak ambil banyak tempahan dengan purata tiga tempahan sehari sahaja dari hari pertama Syawal hingga Ahad lalu. Saya tawarkan khidmat ini sekitar 30 minit dengan kadar berpatutan,” katanya ketika dihubungi.
Ujar Nur Diana lagi, dia gembira apabila dapat merakam gambar kenangan pelanggan pada musim perayaan terutamanya bagi yang mempunyai keluarga besar.
“Paling seronok apabila minta ibu bapa pelanggan yang sudah pun berusia untuk sama-sama dengan pelbagai aksi di depan kamera, biasanya apabila anak-anak minta mereka bergambar, mereka tidak mahu,” katanya. –UTUSAN










