KOTA BHARU: Suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Hafizul Harawi merupakan seorang hafiz al-Quran, hasil ujian yang dilakukan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, ujian itu mendapati suspek begitu fasih membaca ayat-ayat suci al-Quran.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek pernah mengikuti pengajian agama di Pondok Repek, Pasir Mas, Kelantan.
“Suspek lahir di Selangor dan membesar di Kuala Lumpur tapi pernah belajar di Kelantan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Semalam, suspek yang cuba membunuh isterinya dengan melepaskan tembakan di KLIA ditahan di sini selepas 36 jam diburu polis.
Semasa ditahan, polis menjumpai dan merampas sepucuk pistol yang digunakannya semasa melepaskan tembakan di KLIA. – UTUSAN










