Titah perkukuh perpaduan rakyat wajib ditaati

Titah perkukuh perpaduan rakyat wajib ditaati

FALSAFAH Pendidikan Kebangsaan (FPK) menekankan kebolehan pelajar yang menyeluruh lagi bersepadu untuk melahirkan warganegara yang seimbang dan harmonis, dari segi kecerdasan, rohani, emosi dan jasmani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDIDIKAN adalah antara alat terpenting untuk menyatupadukan rakyat, lebih-lebih lagi dalam sebuah negara berbilang etnik seperti Malaysia yang bertunjangkan budaya Melayu Islam. Sehubungan ini, agak malang sistem pendidikan kita didapati lebih memecahbelahkan daripada menyatupadukan.

Ini dapat dilihat dengan jelas apabila kita menggalakkan selain membenarkan pengasingan etnik berlaku pada usia yang cukup muda tanpa adanya tunjang ini.

Pada usia seawal di tadika lagi, anak bangsa kita sudah mula diasingkan dan ini diikuti kemudiannya di peringkat sekolah rendah. Apabila kita mahu menggabungkan mereka di peringkat sekolah menengah, ia didapati tidak terjadi.

Ini kerana pengasingan etnik yang bermula melalui pelbagai aliran persekolahan selama enam tahun itu tidak mengizinkannya. Dengan ini, ia didapati berterusan sehinggalah ke peringkat institusi pendidikan tinggi dan akhirnya mantap di tempat kerja.

Pendidikan tidak dapat dinafikan adalah sejenis pemupukan, iaitu proses agar mereka yang dididik itu menerima untuk memiliki satu set prinsip setempat tanpa ada apa-apa pertikaian daripada mana-mana pihak jua. Antara prinsip ini ialah khazanah budaya, iaitu sikap, pola, pertimbangan, segala macam kemungkinan dan andaian yang kuat tersemadi dalam amalan sesuatu budaya itu.

Untuk kita di Malaysia, sudah tentu ia khazanah budaya Melayu Islam. Ini kerana etnik Melayu selain merupakan penduduk asal, adalah kelompok majoriti dan dominan dalam kepimpinan dan pemerintahan negara ini.

Dalam pada ini, khazanah budaya Melayu Islam itu merujuk kepada kecenderungan cara hidup yang di dalamnya tersemat pemikiran, pengucapan dan tingkah laku etnik Melayu Islam selaku tuan rumah.

Inilah yang akan diperkukuh secara formal dalam sistem pendidikan negara untuk dijiwai secara disedari mahupun sebaliknya, semasa anak bangsa kita berfikir, berucap dan berkelakuan yang kesemuanya wajib bertanggapan Melayu Islam. Di samping tanggapan ini ialah pandangan dunia Melayu Islam, iaitu falsafah hidup dan konsepsi dunia semesta yang fitrahnya adalah Melayu Islam.

Inilah rukun yang mahu diwujudkan dalam sistem pendidikan negara untuk didakap setiap anak bangsa yang melaluinya dengan sempurna dan jayanya.

Untuk ini, ia akan diperkukuh oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Ini kerana FPK menekankan kebolehan pelajar yang menyeluruh lagi bersepadu untuk melahirkan warganegara yang seimbang dan harmonis, dari segi kecerdasan, rohani, emosi dan jasmani.

Selain berilmu, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan, pelajar yang terdidik itu berjaya mencapai kesejahteraan diri serta menyumbang balik kepada kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Dengan ini, FPK bukan sahaja melengkapi khazanah budaya Melayu itu, juga memurnikannya.

Inilah sebenarnya pemupukan yang sepatutnya berlaku dalam sistem pendidikan kita dalam usaha untuk menyatupadukan rakyat. Inilah juga seruan Ketua Negara semasa bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Malaysia 15.

Bagi Baginda, ia tidak lain tidak bukan adalah untuk merangka dasar ke arah perpaduan negara yang lebih kukuh lagi harmoni, yang sewajarnya dimanfaatkan pemupukannya semasa anak bangsa kita masih kecil lagi.

Selain itu, titah itu juga menyinggung gejala generasi kini yang didapati masih tidak berupaya berbahasa negara, di samping tidak mengetahui budaya etnik lain setelah sekian lama kita menubuhkan negara ini.
Sehubungan titah ini, didapati belum ada tindakan signifikan walaupun yang pemula sifatnya, oleh mana-mana pihak untuk menggerakkan usaha ke arah pemupukan perpaduan rakyat yang kukuh lagi harmoni itu.

Yang berlaku ialah semacam penafian tentang wujudnya gejala ketidakcekapan berbahasa negara dalam kalangan rakyat dari sektor tertentu dan kejahilan mereka, misalnya yang bukan Melayu tentang warisan budaya etnik Melayu, yang merupakan tunjang utama dalam usaha pemupukan khazanah budaya Melayu Islam itu.

DITENTANG
Hal ini dapat dilihat pada tindakan balas etnik bukan Melayu, khususnya Cina terhadap mana-mana pihak yang cuba menangani gejala tersebut, yang didapati memang berleluasa dalam kalangan mereka. Pihak ini bukan sahaja diselar, malah cuba ditakut-takutkan untuk diambil tindakan perundangan kerana dianggap menyentuh isu etnisiti yang kini menjadi larangan atas nama hasutan.

Dengan ini, kita selama-lamanya tidak akan dapat berbicara secara ikhlas tentang perkara jelik dari segi etnisiti di negara ini, demi masa hadapan negara tercinta ini. Oleh itu, banyak perkara tidak dapat dibincangkan secara terbuka dan akan dikesampingkan begitu sahaja kerana realiti buruknya tidak sanggup dihadapi pihak terbabit.

Sesungguhnya kebenaran ini adalah api dalam sekam yang akan membakar negara ini, jika tidak dipadamkan segera.

Sewajarnya kita wajib mengambil peringatan yang serius akan titah itu. Ia bukan retorik hiba yang semata-mata mengharapkan sebaliknya ia sebenarnya peluang terakhir kita untuk berubah. Ini kerana proses pembentukan negara bangsa, yakni usaha melahirkan insan Malaysia yang berjati diri kebangsaan kental, memang betul-betul gagal.

Ia sedemikian kerana antaranya ditentang kuat pihak tertentu dalam pelbagai cara yang kekadangnya amat tidak munasabah.

Dengan ini, nasionaliti Malaysia yang tunjangnya khazanah budaya Melayu Islam bukan sahaja langsung tidak terserlah, malah selalu cuba digagalkan. Ini antaranya berlaku pada pendidikan tulisan Jawi pada subjek bahasa Melayu sebanyak tiga halaman sahaja dan berupa pilihan pula, yang mahu digagalkan kerana disyaki usaha licik untuk mengislamkan etnik bukan Melayu dan Islam.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×