JERANTUT: ‘Ada orang lebih susah dan miskin daripada saya perlu diberi pertolongan, sekurang-kurangnya dapat meringankan sementara kesusahan mereka’.
Demikian kata seorang gelandangan, Ismail Ahmad, 58, ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Bukit Rang di sini.
Dia berasal dari Butterworth, Pulau Pinang mengakui pengalaman sebagai gelandangan hampir 20 tahun selepas berpisah dengan isterinya cukup memeritkan dan tiada siapa pun peduli, hanya Allah SWT tahu kesusahan hidupnya.
“Selepas berpisah dengan isteri, kehidupan saya terumbang-ambing dan terus membawa diri sehelai sepinggang serta tinggal di merata tempat di Pulau Pinang sambil mencari pekerjaan sebelum berkelana ke Kuantan, lima tahun lalu.
“Di Kuantan saya cuba mencari rezeki dengan menjual barang lama termasuk pakaian terpakai yang saya peroleh daripada tong sampah sekitar bandar yang masih boleh digunakan,” katanya.
Menurut Ismail, rezeki tidak menyebelahinya apabila barang dan pakaian terpakai yang ‘dipungut’ daripada tong sampah tidak dipedulikan pelanggan di Kuantan.
“Kemungkinan mereka sudah tahu barang terpakai lusuh dan kotor menyebabkan jualan tidak laku dan rezeki saya terbantut. Mahu tidak mahu semua barang dan pakaian terpakai, saya sumbangkan kepada penduduk miskin yang memerlukan di sekitar bandar Kuantan,” katanya.
Bapa kepada dua orang anak berusia antara 30 hingga 35 tahun itu berkata, dia kemudiannya tinggal di pondok usang di Kampung Bukit Kemput, Pulau Tawar di daerah ini sambil bekerja menjaga kebun sawit milik seorang pengusaha kebun durian musang king.
“Saya sumbangkan semua barang yang dijumpai dan masih elok kepada penduduk miskin dan Orang Asli.
“Biarlah orang nampak kerja saya kotor, tapi niat saya cuma mahu membantu,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh hubungi Ismail menerusi talian 01140658382 atau sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0600441100040266.











