JOHOR BAHRU: Sekumpulan kanak-kanak di Taman Scientex, Pasir Gudang, dekat sini mengumpulkan duit raya diterima mereka sempena Hari Raya Aidilfitri untuk disumbangkan kepada keluarga mangsa kebakaran sehari sebelum sambutan 1 Syawal.
Salah seorang kanak-kanak tersebut, Haraskaiser Mohd. Khairul Amri, 11, mengajak enam lagi rakannya untuk berbuat demikian kerana berasa simpati dengan keluarga mangsa.
“Kami rasa sedih kerana mak cik (mangsa) dan keluarganya tidak dapat beraya seperti orang lain. Jadi kami kumpulkan sedikit duit raya untuk disumbangkan kepada mereka,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Scientex, di sini.
Selasa lalu, kediaman Presiden Pertubuhan Permata Baiduri Malaysia (Permata), Faridah P. Hamsa musnah dalam kebakaran, namun tiada kemalangan jiwa akibat kejadian tersebut.
Video kejadian itu tular dalam media sosial sehingga mengundang simpati ramai pihak, apatah lagi kejadian berlaku sehari sebelum umat Islam di negara ini menyambut Aidilfitri.
Seorang lagi kanak-kanak terlibat, Mohd. Rayyan Ramadan Mohd. Saifudin, 11, mengakui gembira dapat membantu keluarga mangsa kebakaran itu walaupun jumlah sumbangan tidak banyak, iaitu dalam puluhan ringgit.
“Tidak kisah sumbang duit raya, keluarga mak cik juga nampak seperti orang yang baik-baik. Nanti selepas ini kami beraya lagi,” katanya.
Sementara itu, Faridah meluahkan rasa terharu dengan keprihatinan ditunjukkan kumpulan kanak-kanak tersebut yang merupakan jiran-jirannya di kawasan perumahan berkenaan.
“Walaupun mereka masih kecil dan bersekolah, tetapi ada sikap ambil berat dan mahu membantu. Bukan jumlah sumbangan yang utama, sebaliknya rasa prihatin mereka, saya betul-betul tersentuh,” kata ibu kepada empat anak berusia antara dua hingga 19 tahun itu. – UTUSAN










