PETALING JAYA: Penggunaan cecair nitrogen dalam pembuatan produk makanan yang semakin tular dalam industri membuatkan peniaga kecil, Wondersnow tidak mahu ketinggalan untuk mengaplikasikan cecair tersebut dalam jualan aiskrimnya.
Pengasasnya, Baba Wan , 65 , berkata, perniagaan ais krim menggunakan cecair nitrogen bagi menjadikanya beku telah dijalankan selama lebih 10 tahun.
Justeru, beliau ingin memperluaskan perniagaannya dan berharap suatu hari nanti dapat menubuhkan beberapa cawangan kedai dengan mengekalkan konsep pembekuan ais krim menggunakan cecair hidrogen.
“Walaupun, kami menggunakan bahan-bahan yang dijamin halal, namun untuk mendapatkan pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terlalu sukar kerana perlu melepasi beberapa ujian.
“Oleh itu, saya masih berusaha dengan menjalankan perniagaan ini secara kecil-kecillan, sehinggalah dapat mencapai sasaran yang perniagaan Wondersnow dikenali ramai orang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, beliau melihat terdapat banyak kafe hipster yang kini menjalankan perniagaan ais krim hidrogen dengan penambahbaikan terhadap penampilan ais krim tersebut supaya dapat menarik lebih banyak pelanggan.
“Zaman sekarang dengan adanya media sosial, keunikan yang terdapat pada sesuatu makanan tersebut semestinya membuatkan pembeli ingin mewar-warkan di platform internet berkenaan.
“Malahan saya tidak mahu melepaskan peluang ini, untuk dapat membuka sebuah kafe, tapi dengan syarat perlu usaha untuk mendapatkan sijil halal terlebih dahulu, “ katanya.
Menurut beliau, perniagaan yang dijalankan dari tempat ke tempat, menyebabkan kesukaran untuk mendapatkan kelulusan halal, tambahan jualan aiskrim hidrogennya hanya dijalankan menggunakan vendor atau gerai.
Sehubungan itu, beliau nekad untuk menjalankan latihan bagi prosedur membuka kedai, dalam masa yang sama mendapat pengiktirafan halal.
“Akan tetapi, hasrat tersebut mungkin perlu mengambil masa setahun dua lagi kerana saya perlu mengetahui asas dan pengetahuan prosedur yang sah di sisi agama bagi membuka kafe impian.
“Lagipun, saya terpaksa berhadapan kekangan kerana tidak mempunyai pembantu vendor yang tetap,” kata beliau.
Katanya, dengan adanya pekerja atau pembantu yang sentiasa bekerja bersama beliau, dapat meyakinkannya untuk dapat membantu mengurus perniagaan kafe ais krim suatu hari kelak, terutama dalam penggunaan cecair hidrogen.
Tambahnya, pengendalian terhadap cecair hidrogen juga perlu sentiasa berwaspada, walaipun cecair tersebut tidak membahayakan.
Jelasnya, jika pengendali (pekerja) tidak mempunyai kemahiran tertentu, berkemungkinan ia akan menyebabkan pembaziran terhadap cecair tersebut.-UTUSAN










