Akses secara percuma bahan penyelidikan digital di Perpustakaan USIM - Utusan Malaysia

Akses secara percuma bahan penyelidikan digital di Perpustakaan USIM

PENGUNJUNG Perpustakaan USIM kini boleh mengakses lebih 13,000 bahan penyelidikan digital secara percuma melalui Sistem Repositori Penyelidikan (SRP) yang baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengunjung Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) boleh mengakses lebih 13,000 bahan penyelidikan digital secara percuma melalui Sistem Repositori Penyelidikan (SRP) yang baharu. 

Sistem repositori ini dibangunkan melalui inisiatif Dasar Akses Terbuka di mana USIM adalah antara universiti awam terawal membangunkan dasar tersebut iaitu pada tahun 2018 dan dikuatkuasakan sepenuhnya sejak 2020. 

Ketua Pustakawan USIM, Nor Azzah Momin berkata, SRP dibangunkan dengan menggunakan perisian dari sumber terbuka dan memberikan akses secara terbuka serta percuma kepada bahan-bahan hasil penyelidikan warga USIM yang telah diterbitkan sejak tahun 2000. 

“USIM telah melaksanakan aktiviti pendigitan bahan bermula sejak tahun 2005 lagi, di mana ketika itu aktiviti pendigitan tertumpu kepada pengimbasan foto-foto bercetak yang mempunyai nilai sejarah kepada universiti dan disimpan dalam storan khusus. 

“Aktiviti pengimbasan ini kemudiannya dikembangkan kepada lain-lain bahan seperti kertas soalan peperiksaan kebelakangan, keratan akhbar dan bahan-bahan penerbitan universiti. Bermula 2008, bahan-bahan ini telah dimuat naik ke Sistem Repositori Institusi (eImtiyaz) dan ia boleh diakses oleh para pengguna secara maya,” katanya menerusi kenyataan.

Ujarnya lagi, sistem eImtiyaz menjadi wadah utama bagi aktiviti pendigitan sumber maklumat kepada Perpustakaan USIM pada waktu itu. 

“Berfokuskan kepada pendigitan dokumen berkaitan dengan universiti, eImtiyaz menjadi antara pelantar yang sering digunakan untuk mendapatkan bahan bahan yang menjurus kepada sejarah universiti.

“Antara koleksi yang boleh didapati dalam eImtiyaz adalah Koleksi Keratan Akhbar, Koleksi Ucapan Naib Canselor, Koleksi Buletin, Koleksi Laporan Tahunan dan Koleksi Foto Digital,” tambah beliau lagi.

Kini koleksi SRP telah mencecah 13,800 bahan dan 80 peratus daripadanya berteks penuh dan hanya 20 peratus masih terikat dengan isu hak cipta 

“Perpustakaan USIM telah mengambil langkah untuk mendapatkan bahan yang bebas hak cipta seperti bahan yang berstatus pre-print dan post-print. SRP USIM boleh diakses secara percuma melalui pautan https://oarep.usim.edu.my/jspui/,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×