MERAIKAN bulan Syawal setelah menyempurnakan ibadat puasa terutama pada Hari Raya pertama begitu penting bagi umat Islam. Apatah lagi dalam konteks di negara ini biasanya akan berlanjutan selama sebulan dan menjadi satu adat dalam masyarakat kita.
Acara ziarah menziarahi, bermaaf-maafan dan menghadiri sambutan rumah terbuka antara aktiviti yang diadakan sepanjang bulan berkenaan yang turut melibatkan pelbagai kaum.
Namun, ketika kita sibuk menziarahi rakan, jiran dan sanak saudara, ada beberapa adab yang perlu dipatuhi.
Menurut Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi, antara adab-adab berziarah yang dituntut dalam Islam adalah:
1 Hendaklah ikhlaskan diri kerana Allah SWT ketika berziarah
Berdasarkan hadis Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap perbuatan ini bermula dengan niat dan bagi setiap orang dengan apa yang diniatkannya”.
(Bukhori: 1) Maka dengan niat kerana Allah di dalam ziarah hubungan yang renggang akan pulih, kasih sayang yang pudar akan kembali bersinar dan sifat yang buruk akan bertukar menjadi baik. Ini kerana dengan keikhlasan diri maka bersama kehadiran kita itu akan menjemput rahmat Allah.
2 Semestinya meminta izin untuk masuk ke dalam rumah
Ini bagi mengelakkan kesulitan kepada tuan rumah untuk menyediakan sesuatu hidangan dan supaya tidak membebankan mereka daripada sudut waktu yang mungkin sudah mempunyai perancangan tersendiri.
3 Jaga pandangan mata
Kita tidak dibenarkan mengintai sama ada dapur atau bilik tidur supaya tidak tersingkap aurat tuan rumah.
Firman Allah di dalam Surah Al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud: “Janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang”.
4 Duduk di tempat atau ruang yang dikhaskan
Seseorang hendaklah duduk di kawasan yang dikhaskan dan tidak sesuka hati berpindah ke tempat lain.
5 Hendaklah kita mengucapkan kesyukuran diatas penerimaan sebagai tetamu
Seseorang tetamu itu hendaklah berterima kasih dan memberi senyuman manis kepada tuan rumah yang sanggup menerimanya sebagai tetamu.
Sabda baginda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak dianggap bersyukur kepada Allah orang yang tidak bersyukur kepada manusia” – (Abu Daud:4177)
Dalam pada itu, Nur Muhammad berkata, sekiranya tuan rumah meletakkan syarat seperti ketetapan jumlah tetamu dan tidak membenarkan kanak-kanak, ia tidak menjadi masalah dan bertepatan dengan hadis Imam Al-Bukhari.
“Ada seorang lelaki dari kaum Ansar yang diberi gelaran Abu Syu’aib berkata kepada hambanya yang bertugas memotong daging menyediakan hidangan untuk lima orang termasuk Rasulullah SAW.
“Kemudian Abu Syuib berkata, aku lihat tanda lapar pada wajah Rasulullah SAW dan Abu Syuib memanggil mereka. Kemudian datang seorang lain yang tidak dijemput. Lalu Rasulullah SAW kata lelaki itu mengikut kami dan bertanya sama ada Abu Syu’aib mengizinkan atau sebaliknya. Maka Abu Syu’aib berkata dia tidak perlu pulang,” jelasnya.
Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan
Asal: Kuala Lumpur
Umur: 39 tahun
Pendidikan: Ijazah Doktor Falsafah (Phd) dalam bidang Maqasid Syariah di Morocco
Jawatan terkini: Pengerusi eksekutif Al Bayan Global
Justeru kata Nur Muhammad, ia telah menjadi hak kepada tuan rumah dan tidak ada kesalahan pada untuk meletakkan syarat-syarat tertentu.
Dalam pada itu, Nur Hadi berkata, tidak berdosa atau tidak keterlaluan kalau tuan rumah tidak bersedia menerima tetamu.
“Disunatkan beri salam tiga kali. Kalau tidak disambut disunatkan untuk pulang,” jelasnya. – UTUSAN










