KOTA KINABALU: Bekas Menteri Luar, Senator Tan Sri Anifah Aman bersetuju dengan cadangan mengenakan larangan terhadap Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh masuk ke Sabah.
Anifah yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, apa juga yang membawa kepada perpecahan kaum tidak seharusnya dipandang ringan.
“Mungkin itu cadangan yang baik. Apa yang mengakibatkan perpecahan kaum, kita tidak patut toleransi.
“Ia (perbuatannya) amat memalukan,” katanya ketika mengulas tentang cadangan melarang Ketua Pemuda UMNO memasuki negeri ini.
Anifah berkata demikian selepas majlis berbuka puasa Invest Sabah Berhad malam tadi
Dalam pada itu, Anifah berkata, beliau tidak berhasrat untuk mengaktifkan semula Parti Cinta Sabah (PCS) yang diterajuinya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Sebelum ini, beberapa aktivis mencadangkan agar Akmal dikenakan larangan masuk ke Sabah dan Sarawak susulan kenyataannya yang berbaur perkauman dalam isu stoking yang dijual KK Mart.
Susulan itu, Akmal ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ketia beliau memasuki Sabah semalam.
Akmal dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi memberi keterangan dan kemudian dibebaskan. – UTUSAN










