Balik raya, lebuh raya mula sesak pagi ini 

Balik raya, lebuh raya mula sesak pagi ini 

BEBERAPA lebuh raya utama menghala pantai timur dan arah utara bergerak perlahan mulai 9 pagi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beberapa lebuh raya utama menghala pantai timur dan arah utara bergerak perlahan mulai 9 pagi tadi susulan orang   ramai mula bergerak untuk pulang beraya di kampung halaman masing-masing.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dari Gombak menghala Genting Sempah kini sesak dari Gombak menuju Genting Sempah, membabitkan jarak sejauh 17 kilometer dari Tol Gombak.

“Aliran trafik ke arah utara dari Slim River ke Sungkai dan dari Terowong Menora ke RnR Sungai Perak juga dilihat mula perlahan,” katanya.

Aliran trafik turut dilapor perlahan di arah utara dari Bidor menuju ke Tapah kerana kerja-kerja pembersihan  dijalankan akibat kemalangan di KM314.7 arah utara dari Tapah ke Gopeng pada pukul  7.43 pagi.

Susulan itu,  jurucakap LLM berkata, beberapa laluan Smartlane mula diaktifkan pagi ini, antaranya di KM4.5 hingga KM1.9 arah selatan dari Setia Tropika ke Pasir Gudang dan juga di KM27.0 hingga KM19.0 arah selatan dari Kulai ke Senai.

Orang ramai dinasihatkan  mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline 1-800-88-0000 dan laman Twitter atau talian LLM 1-800-88-7752 sebelum memulakan perjalanan.

Dalam perkembangan berasingan, kira-kira 2,185 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, jumlah itu meningkat berbanding 2,169 kes yang direkod kelmarin.

“Jumlah kes kematian juga menunjukkan peningkatan lapan kes iaitu 25 kes semalam berbanding 17 kes pada kelmarin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Laporan harian itu dikeluarkan selepas kerajaan sebelum ini dilapor akan menyiarkan statistik kematian akibat kemalangan secara ‘real time’ setiap hari sebagai langkah baharu bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya dan orang ramai. _ UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×