UMNO Kelantan putuskan hubungan dengan Bersatu, kecuali Ketereh - Utusan Malaysia %

UMNO Kelantan putuskan hubungan dengan Bersatu, kecuali Ketereh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Majoriti Bahagian UMNO Kelantan membuat ketetapan memutuskan hubu­ngan dan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Perkara tersebut dicapai dalam mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri yang berlangsung di sini malam kelmarin yang dihadiri 12 bahagian, dengan satu bahagian iaitu Tanah Merah masih digantung.

Dalam mesyuarat itu, UMNO Kelantan sekali lagi memberi kata dua kepada Pas untuk membuat keputusan jelas dan segera, sama ada memilih untuk bersama UMNO atau Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Memuatkan artikel berkaitan…

Setiausaha UMNO Kelantan, Akbar Salim berkata, pihaknya turut membuat ketetapan untuk terus menyokong kepemimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden parti yang dipilih secara demokrasi.

“Pendirian UMNO Bahagian Ketereh yang dihantar kepada Presiden UMNO adalah kes terpencil kerana tidak melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan.

“UMNO Kelantan tetap dan terus bersolidariti,” katanya da­lam satu kenyataan di sini semalam.

Kenyataan beliau itu bagaimanapun tidak menyebut bahagian mana yang tidak hadir mesyuarat itu dan berkecuali dalam ketetapan yang diumumkan hari ini, selain UMNO Bahagian Tanah Merah yang masih digantung.

Untuk rekod, Badan Perhubungan UMNO Kelantan mempunyai 14 bahagian.

Sabtu lalu, Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO Bahagian Ketereh sebulat suara menyatakan pendirian rasmi secara bertulis untuk dihantar kepada Ahmad Zahid.
Surat bertarikh 19 Mac 2021 itu ditandatangani kesemua 30 ahli jawatankuasa UMNO bahagian berkenaan dan telah memutuskan empat perkara, antaranya untuk terus menyokong kerajaan PN pimpinan Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini