Harga barang keperluan menjelang Aidilfitri stabil, tidak naik di Perlis - Utusan Malaysia

Harga barang keperluan menjelang Aidilfitri stabil, tidak naik di Perlis

FARAH Adlina Ropaie (kiri) turun padang bagi melakukan pemeriksaan bersempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 di Pasar Besar Sena, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Harga barangan keperluan menjelang sambutan Aidilfitri di negeri ini berada dalam keadaan stabil dan tidak menunjukkan sebarang kenaikan yang membebankan.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Farah Adlina Ropaie berkata, hasil pemeriksaan dilakukan mendapati harga barangan keperluan seperti ayam, daging, cili, halia, timun dan beberapa lagi tidak menunjukkan kenaikan harga.

Selain itu, katanya, bekalan juga mencukupi bagi menampung permintaan pengguna.

Katanya, KPDN sentiasa menggerakkan semua anggotanya bagi menjalankan pemeriksaan di peringkat pemborong dan peruncit bagi mengesan mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan menjelang musim perayaan ini.

“Langkah ini bagi membolehkan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku sebarang langkah menaikkan harga barangan secara sesuka hati,” katanya selepas melakukan pemeriksaan bersempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 di Pasar Besar Sena di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pemeriksaan itu, Farah berkata, skim kawalan harga berkenaan akan dilaksanakan selama 15 hari bermula hari ini sehingga 19 April depan.

Katanya, pelaksanaan skim tersebut membolehkan kawalan harga dilakukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 ke atas barangan bagi semua peringkat membabitkan pengeluar, pemborong dan peruncit.

“Sebanyak 22 jenis barangan terpilih di bawah skim ini antaranya daging lembu tempatan (kecuali batang pinang), daging kerbau import, daging lembu import, tomato, cili merah, kubis bulat import dan pelbagai lagi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Farah berkata, bermula sejak 12 Mac sehingga 4 April, sebanyak 551 pemeriksaan telah dijalankan di bawah Ops Pantau 2024 melibatkan penguatkuasaan harga, alat timbang, bekalan, halal dan barang tiruan.

Katanya, dari jumlah itu, sebanyak tujuh kes telah diambil tindakan dengan nilai kompaun berjumlah RM1,400.

“Peniaga diingatkan untuk mematuhi peruntukan AKHAP 2011 dan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan ditetapkan bawah skim ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Peniaga-Peniaga Pasar Besar Sena, Saad Isa, 77, berkata, buat masa ini, bekalan barangan yang dipasarkan oleh peniaga di pasar berkenaan adalah mencukupi dan tidak menunjukkan kenaikan harga ketara.

Katanya, peniaga di pasar itu juga tidak berani menaikkan harga sesuka hati berikutan perlu bersaing dengan pengusaha lain di luar yang menawarkan harga lebih berpatutan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN