PRN: Bakal digugur sebagai calon, Shahelmey sudah timbang risiko

PRN: Bakal digugur sebagai calon, Shahelmey sudah timbang risiko

SHAHELMEY Yahya ketika ditemui semasa program kesedaran keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri di Papar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya sudah menimbang risiko yang bakal dihadapi ketika membuat keputusan untuk tidak menyokong Datuk Seri Bung Moktar Radin semasa berlakunya Langkah Kinabalu.

Maka, kenyataan terbaharu Bung Moktar selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah untuk menggugurkan nama pemimpin yang tidak sehaluan dengan parti adalah satu perkara yang boleh dijangka.

“Itu adalah kenyataan Bung Moktar selaku Pengerusi UMNO Sabah. Saya tidak sehaluan dengan dia sewaktu percubaan Langkah Kinabalu pada Januari 2023.

“Pada pandangan saya, pada waktu tersebut adalah mengutamakan kestabilan politik Sabah dan sewaktu buat keputusan untuk tidak bersama dengan kumpulan Datuk Bung semasa Langkah Kinabalu tahun lepas, saya juga sudah menimbang risiko yang bakal diambil (kepimpinan UMNO) daripada perbezaan keputusan yang dilakukan itu,” katanya selepas melancarkan program kesedaran keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri, di sini hari ini.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, beliau sentiasa berfikiran terbuka dengan apa juga keputusan pimpinan parti.

Beliau berkata, masih ada setahun setengah sebelum tempoh penggal ini berakhir secara rasmi maka, beliau ingin menumpukan kepada kerja-kerjanya terlebih dahulu.

Ahli Parlimen Putatan itu berkata, tempoh penggal ini berakhir secara rasmi pada hujung tahun depan dan mungkin akan dipanggil lebih awal namun, itu terpulang kepada Ketua Menteri.

Justeru, beliau hanya akan membuat perhitungan politik apabila tiba masanya kelak iaitu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Semasa berlaku kemelut politik, Langkah Kinabalu, Shahelmey bersama tiga ADUN UMNO iaitu Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) memutuskan untuk menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri. 

Tindakan itu bertentangan dengan keputusan UMNO yang menarik sokongan daripada Hajiji.

Semasa rombakan Kabinet dilakukan susulan kemelut Langkah Kinabalu, Shahelmey dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri untuk menggantikan jawatan yang dipegang oleh Bung Moktar. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×