PUTRAJAYA: Sejumlah 11,890 pemilih muda dalam kalangan umur 18 hingga 29 tahun bakal menentukan siapa wakil rakyat pilihan mereka pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu, Selangor yang ditetapkan pada 11 Mei ini.
Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 40,226 keseluruhan pengundi di DUN tersebut terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 238 anggota tentera dan pasangan, 625 anggota polis dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.
Kuasa penentu undi dari golongan dewasa juga tidak boleh dipinggirkan apabila seramai 15,269 dalam kalangan umur 30 hingga 49 tahun berdaftar sebagai pemilih di kawasan berkenaan.
Dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya menetapkan tarikh penamaan calon pada 27 April ini, manakala undi awal pula pada 7 Mei ini.
Beliau berkata, pelaksanaan PRK tersebut yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu itu bakal menelan kos perbelanjaan sebanyak RM2.5 juta.
“SPR memutuskan PRK ini hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi luar jangka itu.
“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 27 April ini (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 10 Mei,” katanya.
Menurut Abdul Ghani, SPR melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh tiga orang Penolong Pegawai Pengurus, selain menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon bertanding.
Katanya, seramai 760 petugas dilantik untuk mengendalikan proses PRK itu di 20 pusat mengundi dengan 77 saluran mengundi ditetapkan.
Beliau memberitahu, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan adalah di Dewan Serbaguna dan Komplek Sukan Daerah Hulu Selangor.
PRK Kuala Kubu Baharu ini menjadi PRK ketujuh dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022 selain pelaksanaan Pilihan Raya Negeri di enam negeri pada Ogos 2023.
Kee Hiong adalah wakil rakyat DUN Kuala Kubu Baharu sejak 2013 dan ini adalah penggal ketiganya selepas mengekalkan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Selangor 2023.
Pada PRN Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.
Beliau kali pertama mewakili kawasan itu pada 2013 apabila menewaskan Ooi Hui Wen dari MCA dengan majoriti 1,702 undi. – UTUSAN










