Kupang di Port Dickson sah tidak selamat dimakan

Kupang di Port Dickson sah tidak selamat dimakan

WAN Muhammad Aznan Abdullah (kiri) dan Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe dalam sidang akhbar di Pusat Ikan Hiasan, Jabatan Perikanan, Port Dickson semalam. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Analisis makmal yang dijalankan Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur terhadap air dan sampel kupang di perairan Port Dickson mengesahkannya telah dicemari biotoksin berbahaya dan tidak selamat dimakan.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Jabatan Perikanan, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, analisis yang dijalankan mendapati ada tiga alga berbahaya, iaitu spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia.

“Pihak jabatan menyarankan kupang dan kerang-kerangan seperti lala, kerang, lokan di perairan Port Dickson tidak selamat dimakan dan kami meminta masyarakat tidak mengambil kerang-kerangan di sini. Kami sekarang mengambil tindakan penguatkuasaan tidak membenarkan kerang-kerangan di Port Dickson dikeluar dan dijual di pasaran awam.

“Jabatan akan meneruskan pemantauan berterusan de­ngan melakukan pengujian secara berkala mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga kepadatan sel di dalam air berkurang dan biotoksin di dalam isi kupang tidak dikesan.

“Kebiasaannya kita mengambil masa seminggu untuk buat ujian makmal semula, namun kami akan mengambil masa selama 20 hari dan selepas itu jika dua kali analisis mendapati ia selamat, kami akan isytiharkan kerang-kerangan kawasan itu selamat untuk dimakan,” kata­nya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, cuaca panas terik yang berlaku ketika ini menyebabkan alga yang bertoksin itu membiak dengan cepat di perairan Port Dickson.

“Kemungkinan tidak ada kaitan dengan pencemaran air laut termasuk terdapat kan­dungan logam berat,” tambahnya.

Beliau memberitahu, hasil laut lain seperti ikan dan sotong dari perairan Port Dickson adalah selamat untuk dimakan.

Wan Muhammad Aznan dalam pada itu menjelaskan, terdapat kira-kira 40 penternak kupang di Port Dickson, iaitu di Kampung Telok dan Sungai Sengkawang di Pasir Panjang.

“Kami telah mengeluarkan arahan untuk penternak agar tidak mengeluarkan hasil di samping agensi penguatkuasaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan polis marin serta penguat kuasa Jabatan Perikanan akan berada di lapangan perairan Port Dickson. Pemantauan juga akan dijalankan di pasar-pasar bagi mengelakkan kupang dan kerang-kerangan ini dijual.

“Selain itu, kupang-kupang sedia ada yang belum dituai oleh penternak tidak akan dilupuskan kecuali yang sudah di­tuai dan berada di pasar, ia perlu dilupuskan,” katanya.

Jelasnya, kajian sampel bagi perairan Melaka dan Johor turut dilakukan dan mendapati kedua-dua negeri itu selamat dan tidak ada mempunyai alga toksik berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×