Guru ragbi bebas tuduhan amang seksual fizikal pelajarnya

Guru penasihat ragbi bebas tuduhan amang seksual fizikal pelajarnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang guru penasihat ragbi dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelakinya yang ketika itu berusia 14 tahun, enam tahun lalu.

Hakim Norsharidah Awang memutuskan demikian terhadap lelaki berusia 39 tahun itu yang juga warden sekolah berkenaan selepas membenarkan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan.

Beliau berpuas hati adalah tidak selamat untuk membuat dapatan bahawa kes prima facie telah dibuktikan terhadap guru berkenaan hanya bersandarkan kepada keterangan mangsa yang ketika itu dikategorikan sebagai kanak-kanak.

Hakim berkenaan juga berpendapat, keterangan ibunya (SP2) dan pegawai penyiasat (SP6) tidak berjaya menyokong keterangan mangsa (SP1) yang juga seorang pemain ragbi sekolah.

Mahkamah turut berpendirian, siasatan SP6 tidak telus dan penuh kelompangan manakala keterangan SP2 selaku ibu mangsa hanyalah bersifat dengar cakap (hearsay) selain merupakan saksi berkepentingan.

“Selepas pulang dari sekolah iaitu pada 17 Ogos 2018, mangsa tidak memaklumkan kejadian itu kepada ibunya sehinggalah pada 26 Ogos 2018 apabila pelajar itu enggan bersiap untuk kembali ke sekolah.

“Sepanjang tempoh sembilan hari itu, tiada sebarang keterangan menunjukkan keadaan mangsa sama ada dalam kemurungan atau ketakutan,” demikian menurut penghakiman bertulis bertarikh 18 Mac lalu yang diperoleh pihak media hari ini. Keputusan diumumkan pada 4 Oktober 2023.

Menurut pertuduhan, guru berkenaan didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar itu di stor ragbi sekolah berkenaan di Hulu Selangor kira-kira pukul 4 petang, 17 Ogos 2018.

Dia yang merupakan lulusan Sarjana Muda Usuluddin sebuah universiti awam didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Keterangan kes antaranya menyatakan, kira-kira pukul 4 petang hari kejadian, guru berkenaan mengarahkan mangsa yang juga pemain ragbi sekolah supaya menunggu ibunya di bilik berkenaan seperti biasa untuk pulang ke rumah. Kejadian amang seksual fizikal itu berlaku beberapa minit sebelum ibunya tiba.

Pada 26 Ogos 2018, mangsa lewat bersiap untuk kembali ke asrama bagi memulakan sesi persekolahan, sehingga ditegur ibunya. Pelajar berkenaan mula menangis dan enggan pulang ke sekolah.

Mangsa kemudian mengadu guru berkenaan sering melakukan gangguan seksual serta memberitahu ibunya bahawa dia tidak mahu lagi bertemu tertuduh.

Menurut pelajar tersebut, antara kejadian dilakukan ketika di bilik ragbi selepas mengulang kaji ‘prep’ di bilik berkenaan serta diugut supaya tidak menceritakannya kepada sesiapapun.

Guru berkenaan pada asalnya turut menghadapi satu lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar yang sama di kuarters guru di daerah itu, sejam sebelumnya.

Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan itu pada akhir kes pendakwaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×