MASJID dan surau menjadi lokasi umat Islam berpusu-pusu untuk menunaikan ibadah sepanjang bulan Ramadan ini.
Sehubungan dengan itu, baru-baru ini, syarikat perlindungan kuman mengambil inisiatif menjalankan pembersihan dan pembasmian kuman di 20 masjid di sekitar Lembah Klang menerusi kempen Selangkah Lebih, Selangkah Kasihnya.
Pengarah Pemasaran Kesihatan Reckitt, Tiffany Tang berkata, kempen yang bertujuan mewujudkan persekitaran yang selamat dan bersih khususnya di tempat ibadah seperti masjid mahu memupuk nilai kebersihan untuk menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan.
Katanya, dalam kempen kebersihan itu, syarikat menumpukan kepada pembersihan ruangan asas seperti dewan solat dan kawasan wuduk.
“Kami komited untuk menyokong masyarakat Islam semasa Ramadan dengan menyediakan sumber dan pendidikan yang diperlukan untuk kekal sihat,” katanya.
Bagi merealisasikan kempen berkenaan, sumbangan bernilai RM100,000 berupa produk kebersihan dan penyelenggaraan persekitaran diberikan kepada masjid terlibat.
Inisiatif itu bukan sahaja memberi manfaat kepada jemaah tetapi juga ke arah menggalakkan persekitaran yang lebih sihat dan bersih.
“Ini menyerlahkan lagi komitmen jenama Dettol ke arah memberi kesan positif kepada masyarakat,” kata Tang.
Kempen itu adalah anjuran pertama syarikat perlindungan kuman tersebut yang dilancarkan pada Ramadan kali ini.











