Lelaki terpedaya skim pelaburan tidak wujud, kerugian wang RM230,000 - Utusan Malaysia

Lelaki terpedaya skim pelaburan tidak wujud, kerugian wang RM230,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki kerugian wang hampir RM230,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi. 

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pada pukul 6.28 petang semalam, pihak polis menerima laporan dari seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang menyatakan telah menerima satu panggilan dari nombor telefon tidak dikenali pada 15 Januari lalu.

“Panggilan telefon tersebut mengaku sebagai wakil khidmat pelanggan M+ Plus Online yang menawarkan skim pelaburan Goldmans Sach (GS) untuk mendapatkan keuntungan tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lelaki itu kemudiannya telah membuat sebelas transaksi berjumlah RM229,5134.38 ke pelbagai akaun yang diberikan oleh suspek. Mangsa menyedari telah ditipu setelah gagal membuat pengeluaran wang modal dan keuntungan yang dijanjikan bagi pelaburan yang telah dibuat,” katanya.

Berikutan itu, Abdul Malik berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang berusaha mengesan suspek terlibat untuk siasatan lanjut.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang awam agar membuat semakan dengan pihak berkuasa dan Bank Negara Malaysia sebelum menyertai apa-apa skim pelaburan untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×