SEPANG: Keputusan pemilik Formula 1 (F1), Liberty Media membeli 86 peratus pegangan saham dalam MotoGP tidak akan memberi sebarang kesan kepada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selaku tuan tumah Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Azhan Shafriman Hanif berkata, setakat ini, SIC masih lagi berurusan dengan Dorna (pemegang hak penganjuran MotoGP) berhubung kontrak dan juga sebarang aktiviti lain sehingga 2026.
“Tiada apa yang berubah, buat masa ini pengurusan masih sama, Carmelo (Ezpeleta) masih lagi CEO untuk Dorna, dan pasukan pengurusan juga masih sama.
“Pengumuman yang dibuat sebelum ini pun, Dorna masih lagi jadi tunjang utama untuk perlumbaan pada tahun ini tetapi kita akan tunggu dan lihat jika ada perubahan nanti,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama SIC di sini.
Kelmarin, Liberty Media bersetuju membeli MotoGP menerusi perjanjian yang dianggarkan bernilai AS$4.5 billion (RM21.3 billion).
Menurut Shafriman, buat masa ini, SIC lebih selesa mengambil pendekatan tunggu dan lihat dan sekiranya terdapat perubahan berlaku, pihaknya yakin hanya perkara positif yang bakal terjadi.
Ketika ditanya kesediaan SIC untuk menerima perubahan corak pengurusan Liberty Media yang cenderung kepada dunia hiburan, Shafriman memberitahu, sebenarnya ia merupakan salah satu faktor penarik berhubung pengambil alihan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat tersebut.
“Kita dapat lihat perubahan yang berlaku dalam F1 yang mana ada lonjakan dalam sukan itu sejak diambil alih oleh Liberty Media.
“Jadi, kita berharap strategi pemasarannya mungkin lebih menarik untuk masa akan datang,” ujarnya.
Mengulas perkembangan jualan tiket GP Malaysia, beliau berkata, buat masa ini, promosi ‘beli satu tiket, dapat percuma satu lagi tiket’ berjaya memberi impak berbanding tahun lepas.
“Sambutannya sangat bagus dan terdapat lonjakan dua, tiga kali ganda apa yang kita catat berbanding tahun-tahun sebelum ini,” jelasnya yang turut memaklumkan konsert melibatkan artis dalam dan luar negara akan turut diadakan bersempena GP Malaysia nanti. – UTUSAN










