Kesesakan, momen bermakna di Aidilfitri

Kesesakan, momen bermakna di Aidilfitri

BIARPUN memakan masa, tetapi masih ramai memilih memandu sendiri, kerana serasi dengan keperluan seisi keluarga. - UTUSAN/SADDAM YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKANLAH sesuatu yang luar biasa apabila perjalanan pulang ke kampung halaman sepanjang musim perayaan ini berkali ganda tempohnya, malah boleh mencapai seharian.

Bayangkan untuk perjalanan dari Selatan tanahair ke Utara, atau ibu kota ke Pantai Timur.

Bagi keluarga berkemampuan, melalui pengangkutan udara barangkali pilihan selamat dan menjimatkan daripada segi masa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sungguhpun begitu, masih ramai memilih memandu sendiri, kerana serasi dengan keperluan seisi keluarga biarpun memakan masa.

Suri rumah, Nurlisa Haili Mohd. Najib, 24, antara tidak terkecuali pulang berhari raya di kampung halamannya di Kelantan dengan menaiki kereta.

Biarpun perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan boleh mencecah 15 ke 18 jam atau tiga kali ganda daripada yang sepatutnya, tetapi dia dan keluarganya kecilnya tetap seronok mengharunginya.

“Kalau hari biasa perjalanan itu hanya mengambil masa sekitar enam jam. Bagaimanapun, kesesakan lalu lintas semasa hari raya jadikan tempoh tersebut boleh berganda dua ke tiga kali,” katanya.

NURLISA haili dan keluarga kecilnya.

Ibu anak satu ini berkata, sebelum ini beliau dan suami gemar pulang ke kampung halaman pada malam raya, namun perancangannya berubah selepas bersalin anak sulung tahun lalu.

“Tahun ini balik awal sedikit. Selain perlu membuat persiapan barangan keperluan asas bayi seperti makanan, susu, lampin dan juga pakaian, kami juga khuatir perlu lebih kerap berhenti di hentian rawat dan rehat (R&R) untuk menukar lampin dan sebagainya,” katanya.

PERSIAPAN KESELAMATAN

Sementara itu, Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim mengingatkan warga kota untuk sentiasa memastikan rumah ditinggalkan dalam keadaan selamat.

Antara langkah supaya rumah terhindar dari risiko sepanjang ketiadaan orang adalah dengan memastikan rumah dikunci dengan baik menggunakan kunci yang berkualiti.

Katanya, pemeriksaan penguncian yang rapi juga perlu bagi memastikan rumah dikunci dengan betul untuk mengelakkan kecuaian.

“Semak dan periksa berkali-kali. Perlu lakukan perkara ini demi keselamatan rumah.

KAMAL AFFANDI HASHIM

Selain itu, beliau juga menyarankan orang ramai untuk memanfaatkan perkhidmatan pihak berkuasa dengan melaporkan status keberadaan kepada balai polis berdekatan.

“Anda boleh singgah di mana-mana balai polis dan beri laporan keberadaan.

“Ini salah satu perkhidmatan percuma yang dilakukan tapi ramai yang ambil mudah perkara ini,” katanya.

Berkongsi lanjut, Kamal Affandi berkata, bagi yang tidak pulang ke kampung, mereka boleh dijadikan sebagai mata-mata pemerhati bagi mengesan gerak-geri mencurigakan.

Katanya, apa yang diperlukan hanyalah talian bilik gerakan polis di kawasan berdekatan dan talian kecemasan.

Orang ramai juga boleh memanfaatkan komuniti kejiranan sekitar dengan memaklumkan keberadaan sepanjang musim perayaan.

Mengulas mengenai keselamatan semasa dalam perjalanan pulang ke kampung, Kamarul Affandi berkata, kenderaan yang dinaiki mestilah sentiasa terkunci terutama semasa singgah di hentian R&R.

Beliau juga menyarankan orang ramai untuk sentiasa mematikan enjin semasa melakukan hentian di mana-mana.

Menurutnya, ini bagi mengelakkan kenderaan daripada dilarikan selain keracunan karbon monoksida bagi ahli keluarga yang ditinggalkan.

“Kita pastikan kenderaan terkunci sepanjang perjalanan. Kalau turun isi minyak atau mana-mana, matikan enjin. Semua ini perlu diperiksa.

“Ramai yang tidur dalam kereta atau tinggalkan keluarga dalam kereta, terlupa nak matikan enjin jadi mereka terdedah kepada risiko keracunan gas karbon monoksida,” katanya.

Dalam pada itu, sebagai langkah jangka panjang pula, Kamal Affandi menasihati orang ramai untuk mengambil insurans isi rumah sebagai perlindungan hartanah milikan yang lebih menyeluruh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini