PASIR PUTEH: Rural Capital Berhad (RCB) yang merupakan anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara) berjaya mengutip hutang lapuk berkait pinjaman dengan agensi berkenaan bernilai RM3.3 bilion dalam tempoh sepuluh tahun sehingga hari ini.
Pengerusinya Noor Hariri Mohamed Noor berkata, daripada jumlah pinjaman melibatkan pembiayaan pelajaran merekodkan kutipan tertinggi iaitu
RM280 juta diikuti, sewaan premis dan pinjaman perniagaan.
Menurutnya, kesemua kutipan itu dilakukan menerusi pendekatan secara bersemuka dengan pemuitang selain tawaran insentif tertentu.
“Kita berdepan dengan pelbagai situasi termasuk dimaki hamun pemuitang, Alhamdulillah usaha kita berhasil apabila 75 peratus hutang berjaya diselesaikan.
“Mara akan terus menuntut kembali pembiayaannya (hutang) selepas peminjam mendapat pekerjaan dan berupaya membayarnya,” katanya ketika menyampaikan zakat dan baju raya kepada murid asnaf di Dewan Uthmaniyyah Pulau Lima, di sini hari ini.
Noor Hariri memberitahu, RCB hanya menerima maklumat berkait dengan data peminjam yang liat melunaskan hutang melebihi dua tahun selepas mempunyai pendapatan tetap.
Katanya, tidak mempunyai pekerjaaan selepas 10 tahun menamatkan pelajaran, gaji bulanan tidak mencukupi, gagal dalam perniagaan dan sebagainya antara alasan yang diberikan oleh peminjam.
Noor Hariri berkata, pinjaman pengajian perubatan di luar negara yang mencecah RM1 juta menjadi penyumbang kepada peningkatan hutang lapuk Mara.
Katanya, pada tahun ini syarikat menyasarkan kutipan hutang sebanyak RM300 juta berakhir Disember tahun ini.-UTUSAN










