`Sebak lihat jenazah anak masih muda'

`Sebak lihat jenazah anak masih muda’

PENGEBUMIAN jenazah Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni di Christchurch, New Zealand semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: “Hanya Allah yang tahu perasaan saya, Allah sayangkan dia.”

Itu reaksi Megat Irman Jefni mengenai kejadian yang me­nimpa anaknya Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni, 21, pelajar Malaysia yang maut dalam kemalangan di New Zealand pada Sabtu lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau yang berada di New Zealand berkata, jenazah anaknya selamat dikebumikan selepas solat Zohor waktu tempatan.

“Jenazah anak saya disolatkan di Masjid Al-Nur Christ­church sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Bromley, Christchurch selepas Zohor waktu tempatan hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pengebumian turut dihadiri ibu Megat Ashman Aqif, Noor Aishah Abdul Latif, 49, dan adik arwah, Megat Rayyan Dashrin.

Megat Irman Jefni berkata, anaknya terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan untuk berbuka puasa bersama rakan-rakannya.

“Sudah tentu saya sebak dan pilu dengan kejadian yang berlaku apatah lagi sebagai seorang bapa melihat jenazah anak yang masih muda.

“Saya melihat jenazah tiada kesan darah pada anggota badan. Hanya Allah yang tahu perasaan saya, Allah sayangkan dia, meninggal dunia di bulan Ramadan yang mulia,” katanya.

Dalam pada itu, Megat Irman Jefni bersyukur kerana jenazah anaknya selamat dikebumikan.
“Saya bagi pihak keluarga mengucapkan terima kasih pada mereka yang terlibat, kepada waris yang datang jauh,” katanya.

Selain Megat Ashman Aqif, seorang lagi pelajar Malaysia, Wan Nur Adlina Alisa dari University of Canterbury turut terkorban dalam kemalangan sama.

Tiga lagi pelajar cedera dalam nahas sama iaitu Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Anak Walton dari University of Canterbury serta Muhamad Faris Mohd Fairusham dari Victoria University of Wellington. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×