PETALING JAYA: Sebanyak 17 peniaga yang terkesan dalam insiden kebakaran Pasar Raya Mydin di Manjoi, Perak menerima bantuan tunai daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, beliau bersimpati dengan nasib peniaga terlibat dan berharap sumbangan itu dapat meringankan beban dihadapi mangsa-mangsa.
“Saya zahir simpati terhadap nasib peniaga yang menjadi mangsa. Justeru, Setiausaha Politik saya, Muhammad Kamil Abdul Munim telah menyampaikan bantuan tunai bagi pihak saya kepada 17 peniaga yang terkesan.
“Semoga usaha ini sedikit sebanyak meringankan beban dan kerugian yang mereka alami, Insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran Facebook beliau hari ini.
Pada 11 Mac lalu, Pasar Raya Mydin Manjoi terbakar hingga mengakibatkan kerugian kepada peniaga dan Mydin sendiri.
Berdasarkan laporan, Mydin mengalami kerugian sekitar RM50 juta akibat kebakaran itu. – UTUSAN










