KUALA LUMPUR: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional memperuntukkan dana tambahan sebanyak RM30 juta untuk Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) Goes Big bagi membantu 2,000 usahawan kaum itu mengembangkan perniagaan masing-masing.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan berkata, dana tambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan skim kepada RM60 juta, iaitu peruntukan terbesar sejak SPUMI diperkenalkan pada 2008.
Menurutnya, usahawan yang pernah menerima SPUMI akan diberi keutamaan untuk mendapatkan kemudahan dan pembiayaan lebih besar melalui program Groom Big yang disediakan oleh agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop).
“Usahawan SPUMI sedia ada yang telah mendaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh memohon SPUMI Goes Big yang menawarkan nilai pembiayaan dari RM50,000 sehingga RM100,000.
“SPUMI terbuka kepada semua usahawan masyarakat India yang berminat untuk memperluaskan perniagaan mereka termasuk dalam sektor kontraktor kecil, pertanian, peruncitan, perkhidmatan, pembuatan dan perniagaan dalam talian,” katanya dalam majlis pelancaran SPUMI Goes Big di Ibu pejabat TEKUN di sini, hari ini.
Katanya, kemudahan SPUMI Goes Big boleh mula dimohon mulai 15 April ini.
“Seramai 28,808 orang usahawan masyarakat India telah mendapat pembiayaan di bawah SPUMI dengan nilai RM450.5 juta sehingga Mac 2024.
“Program ini membolehkan usahawan berdaftar dapat memperluaskan perniagaan pada tahap global.
“Sejak skim ini dilaksanakan pada 2008, TEKUN telah menerima peruntukan sebanyak RM421.5 juta bagi melaksanakan program-program,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ramanan memberi bayangan akan meningkatkan peruntukan sedia ada kepada RM100 juta pada tahun depan jika inisiatif itu berjaya pada tahun ini.
“Peruntukan yang disediakan tidak pernah meninggalkan baki, bahkan melebihi penggunaan. Setakat April ini, sudah RM11 juta sudah digunakan,” katanya. – UTUSAN











