KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) menyumbang beberapa kelengkapan hari raya kepada 125 murid Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Chow Kit, di sini, semalam.
Timbalan Pengarah PSPK UPM, Prof. Madya Dr. Moniza Waheed berkata, sumbangan berbentuk kelengkapan baju raya, kuih raya dan beberapa alatan mandi serta duit raya itu sebagai satu usaha untuk meraikan sambutan Aidilfitri bersama kanak-kanak jalanan dan terpinggir di sekitar ibu kota yang tercicir persekolahan.
“Kegembiraan dan keceriaan sambutan Aidilfitri perlu dikongsi bersama setiap golongan tanpa mengira pangkat dan status masing-masing.
“Jadi, sumbangan ini secara tidak langsung memberi rasa istimewa kepada murid-murid sekolah SBJK dan berkongsi kegembiraan yang untuk diingati mereka apabila memakai pakaian baharu ketika Aidilfitri,” katanya selepas Program Sumbangan Berilmu Berbakti – ‘Satu Pakaian, Banyak Senyuman: Berikan Dengan Hati, Berkongsi Dengan Jiwa’ di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Kuala Lumpur, semalam.
Program dengan motto ‘Satu pakaian, banyak senyuman: berikan dengan hati, berkongsi dengan jiwa’ itu adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai inisiatif PSPK menyokong program Putra Bakti UPM serta aktiviti jaringan komuniti dan industri.
Sejumlah RM15,000 diperuntukkan untuk sumbangan persalinan baju raya, kuih raya, dan sumbangan wang tunai bagi menjayakan program tersebut.
Menurut Moniza, program seumpama itu dapat mengajar nilai kasih sayang dan memupuk sifat kemanusiaan kepada generasi masa depan dalam kalangan masyarakat.
“Bukan itu sahaja, kesedaran masyarakat terhadap isu-isu yang dihadapi berkenaan anak-anak miskin kota yang tinggal di kaki lima dan kurang bernasib baik dapat dipupuk,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pelajar SBJK, Arrafi Ronny, 17, berkata, dia sangat teruja dengan bantuan hari raya yang disumbangkan oleh pihak UPM.
“Ini merupakan kali pertama SBJK menerima sumbangan sebanyak ini sempena hari raya yang bakal menjelang. Jadi saya agak teruja dan tidak sabar untuk mencuba baju raya baharu,” katanya. – UTUSAN











