PETALING JAYA: Tiga mangsa yang cedera dalam nahas jalan raya di Tasik Tekapo, New Zealand belum mengetahui dua rakan mereka terkorban dalam tragedi Sabtu lalu.
Perkembangan itu dikongsikan bapa kepada Muhamad Faris, iaitu salah seorang mangsa yang selamat dalam nahas berkenaan kepada Utusan Malaysia, semalam.
Mohd. Fairusham Che Mat Zain berkata, keadaan anak keduanya daripada enam beradik itu stabil namun masih dalam pemantauan pegawai perubatan di Hospital Christchurch, South Islands, New Zealand.
“Melalui panggilan telefon, dimaklumkan Muhammad Faris sepatutnya menjalani pembedahan bahu hari ini (semalam) tetapi ditangguhkan esok (hari ini) selain ada serpihan kaca dalam telinga.
“Muhamad Faris dan dua lagi yang terselamat masih tidak tahu dua rakan mereka meninggal dalam nahas terbabit,” katanya.
Selain Muhamad Faris dari Victoria University of Wellington, dua lagi pelajar yang cedera dalam kemalangan sama ialah Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Walton dari University of Canterbury.
Dua pelajar yang maut ialah Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa dari University of Canterbury.
Sementara itu, bapa Lya Isabelle, Walton Fonik, 52, berkata, keadaan anak sulungnya stabil namun dia mengadu sakit bahagian leher, bahu serta di bahagian perut dan sedang menunggu pengesahan pegawai perubatan.
“Buat masa sekarang, kalau perlu mungkin kami akan pergi ke sana, tetapi bergantung dengan keadaan semasanya.
“Setakat ini, kami belum tanya tentang nahas sebab belum sedia ingatkan Lya,’ katanya. – UTUSAN








