KUALA LUMPUR : Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap lelaki Israel, Shalom Avitan amat penting demi menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, cabaran utama PDRM adalah untuk mengetahui motif lelaki berkenaan memiliki enam senjata api dan 200 peluru hidup ketika berada di negara ini.
“Siasatan ini mustahak perlu untuk kita dapatkan motif dan motif ini diperlukan untuk keselamatan dalam negara ini.
“Saya melihat apabila enam senjata api dimiliki suspek sekiranya hari raya dia buat riuh (havoc), tidak ke kacau kita. Itu yang saya nampak lagi-lagi dia ditahan semasa bulan Ramadan ini.
“Nasib baik, kita ada pegawai dan anggota yang cekap dan dengan maklumat yang ada kita (polis) berjaya menangkap lelaki Israel berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman di sini, hari ini.
Tambah beliau, PDRM sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap keselamatan orang awam dan pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Polis perlu menentukan keselamatan orang kenamaan terutama Yang di-Pertuan Agong, Raja dan Perdana Menteri yang kita tidak tahu mungkin jadi sasaran
“Dia mungkin sebut nama Eran tapi sebenarnya Eran itu tiada di negara ini,” jelasnya
Razarudin turut berkata, kawalan keselamatan lelaki Israel berkenaan dilakukan dengan ketat sepanjang tempoh siasatan. – UTUSAN









