Mesti faham asas falsafah negara jika mahu hidup harmoni

Mesti faham asas falsafah negara jika mahu hidup harmoni

ASAS falsafah negara mesti difahami oleh setiap warganegara agar pembinaan masyarakat yang harmoni dapat dicapai dan dikekalkan sepertimana termaktub dalam Perlembagaan. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASYARAKAT Malaysia yang harmoni mesti sentiasa dipupuk setiap masa dan sepanjang zaman. Ia kemestian bagi kehidupan masyarakat yang sejahtera. Semua anggota masyarakat pelbagai peringkat, kaum dan agama mesti memainkan peranan, tiada berkecuali.

Semua mesti sedar bahawa tanpa keharmonian, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan hidup sukar untuk dicapai. Dalam setiap pemikiran rakyat mesti menghormati pegangan agama dan kepercayaan sesuatu kaum. Semua yang berkaitan dengan agama, kepercayaan dan nilai jangan sekali-kali disentuh oleh mana-mana pihak.

Sebarang tindakan yang berkaitan dengan agama, kepercayaan dan nilai-nilai mesti dilakukan dengan penuh teliti dan benar-benar berhati-hati, lebih-lebih lagi berkaitan dengan agama Islam.

Setiap daripada kita mesti sentiasa menyedari bahawa agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan seperti yang termaktub dengan jelas dalam Perkara 3 Perlembagaan negara.

Agama Islam juga adalah anutan orang-orang Melayu sebagai penduduk majoriti negara dan penduduk asal negara ini.

Menyentuh sesuatu yang berkaitan dengan agama Islam adalah seumpama melempar api ke minyak panas.

Isu berkaitan sarung kaki tertera kalimah Allah yang dijual di sebuah pasar raya sepatutnya tidak berlaku sekiranya seseorang itu benar-benar memahami nilai agama Islam dan kedudukannya dalam negara ini.

Implikasinya bukan sahaja kepada impak sosial, tetapi juga impak ekonomi dan perniagaan kepada pihak yang terlibat. Hal ini jangan sekali-kali dianggap kecil atau bahan mainan, tetapi ia merupakan isu besar yang benar-benar perlu di ambil perhatian.

Keputusan tegas Yang di-Pertuan Agong tentang isu ini adalah tepat dan patut diberi pujian besar dan perhatian semua penduduk Malaysia yang cintakan keharmonian. Syabas Tuanku yang mengambil berat dan tindakan pantas tentang kehidupan harmoni masyarakat Malaysia.

Seperti yang dinyatakan, kalimah Allah bukan suatu yang boleh dijadikan simbol murahan sebagaimana simbol-simbol biasa yang lain sebaliknya amat tinggi nilainya dalam kalangan orang Melayu beragama Islam. Orang Melayu walau di tahap mana imannya sekalipun tetap akan tersentuh apabila kalimah Allah dilakukan sedemikian.

Isu ini akan mudah ‘terbakar’ sekiranya tidak dikawal dan diurus dengan baik. Ia mungkin akan membawa ketidakstabilan masyarakat yang sangat tidak diingini dan cuba dielakkan.

Bukan sahaja persoalan sensitiviti bagi orang-orang Melayu Islam yang perlu dijaga, tetapi juga nilai tertentu penganut agama lain. Misalnya perkara berkaitan salib bagi penganut agama Kristian dan patung Buddha bagi penganut agama Buddha. Apakah perasaan yang akan timbul bagi seorang penganut agama Kristian jika simbol salib diletakkan ditempat yang tidak sepatutnya? Begitu juga jika patung atau tokong Buddha di letakkan ditempat yang tidak sesuai dan dikaitkan dengan penghinaan, apa perasaan mereka?

Ini semua harus dielakkan dan jangan sekali-kali dilakukan. Ia tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada keharmonian masyarakat. Yang pasti adalah kesan buruk dan ketidakharmonian sahaja yang mungkin berlaku. Seorang warga yang rasional dan cintakan hidup harmoni tidak akan melakukan ini semua.

PERLU FAHAM
Asas falsafah negara mesti difahami oleh setiap warganegara agar pembinaan masyarakat yang harmoni dapat dicapai dan dikekalkan. Ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan iaitu tentang agama Islam, kedudukan dan peranan raja-raja Melayu, hak serta kedudukan istimewa orang-orang Melayu selain hal-hal lain yang berkaitan dengan tiang seri Perlembagaan negara.

Ini adalah susur galur asas sejarah serta asas pembinaan masyarakat hidup harmoni yang mesti disedari dan difahami oleh semua. Tidak dinafikan bahawa negara kita adalah sebuah negara berbilang bangsa dengan peruntukan tertentu yang telah digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan. Hakikat yang perlu diterima adalah orang-orang Melayu adalah penduduk majoriti yang termaktub dalam Perlembagaan dengan peruntukan tertentu.

Kebebasan warganegara menganut dan mengamalkan mana-mana agama diakui dan diterima, tetapi Islam adalah agama rasmi negara. Orang Melayu adalah bilangan penduduk terbesar negara. Nilai-nilai agama, khususnya yang berkaitan dengan agama Islam dan amalan orang Melayu jangan sesekali dipersendakan mahupun dipermainkan.

Menyentuh hati orang-orang Melayu akan memberi kesan yang buruk kepada keharmonian serta kestabilan negara. Marilah kita hidup dengan perasaan saling hormat-menghormati antara satu sama lain berasaskan garis panduan Perlembagaan dan undang-undang negara. Nilai dan kepercayaan agama mesti diletakkan di tempat yang tinggi dan perlu dijaga dengan penuh harmoni.

Negara ini akan goyah sekali gus sukar untuk maju dengan gagah, tersusun serta lancar teratur andainya nilai agama serta keharmonian masyarakat tidak benar-benar dijaga dan dihormati oleh semua.

Agama dan Perlembagaan negara adalah garis pengukur, memandu amalan tindakan tepat semua warga. Tanpanya kita akan tersesat-barat, hidup berkecai.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×