PETALING JAYA: Johor Plantations Group Bhd. (JPG), sebelum ini dikenali sebagai Johor Plantations Bhd., telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.
JPG berkata, tawaran awam permulaan (IPO) membabitkan sehingga 875 juta saham akan terdiri daripada terbitan awam sebanyak 464 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan sehingga 411 juta saham sedia ada.
Dalam kenyataan itu, syarikat perladangan kelapa sawit huluan itu berkata, daripada 875 juta saham, sebanyak 485 juta saham akan disediakan kepada rakyat Malaysia dan institusi asing manakala 312.5 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Katanya, Sebanyak 50 juta saham pula akan disediakan untuk permohonan oleh rakyat Malaysia menerusi pengundian manakala baki 27.5 juta saham akan diperuntukkan untuk orang yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan JPG.
Pengarah Urusan JPG, Mohd. Faris Adli Shukery berkata, syarikat itu bersedia untuk berkembang ke segmen hiliran perniagaan perladangan, dan mempelbagaikan penawaran produknya untuk memasukkan minyak dan lemak khusus untuk pengeluaran makanan.
“Langkah strategik ini akan meningkatkan kedudukan kami sebagai pengeluar kelapa sawit bersepadu sepenuhnya, dan menjana pendapatan tambahan merentasi keseluruhan rantaian nilai.
“Ia juga dijangka menjana nilai pemegang saham yang positif, mencerminkan komitmen kami terhadap penciptaan kekayaan jangka panjang untuk pelabur kami,” katanya.
Beliau menjelaskan, JPG akan menggunakan sebahagian daripada hasil IPO secara strategik untuk membina kompleks minyak sawit mampan bersepadu, sambil memastikan kesinambungan perniagaan melalui strategi penanaman semula yang berdisiplin.
“Memandangkan rekod prestasi kami yang bereputasi dan model perniagaan bersepadu yang mantap, kami yakin dengan trajektori pertumbuhan masa depan kami, dan akan kekal teguh dalam komitmen kami untuk memberikan kecemerlangan sambil mematuhi amalan perladangan yang mampan,” katanya.
RHB Investment Bank Bhd. ialah penasihat utama, penyelaras global bersama, pengumpul buku bersama, penaja jamin pengurusan dan penaja jamin bersama untuk pelaksanaan IPO.
AmInvestment Bank Bhd. dan CIMB Investment Bank Bhd. ialah penyelaras global bersama, pengumpul buku bersama dan penaja jamin bersama.
CLSA Singapore Pte Ltd dan CLSA Securities Malaysia Sdn. Bhd. ialah penyelaras global bersama dan pengumpul buku bersama, manakala Affin Hwang Investment Bank Bhd. ialah pengumpul buku bersama dan penaja jamin bersama. – UTUSAN










