PETALING JAYA: PMB Investment Berhad (PMB Investment), anak syarikat sepenuhnya milik Pelaburan MARA Berhad memenangi anugerah Dana Ekuiti Permodalan Besar (Shariah) Terbaik Malaysia di Anugerah Dana Malaysia Morningstar 2024.
Pengiktirafan itu membuktikan kesungguhan syarikat dalam pengurusan dananya dan merupakan kemenangan kedua berturut-turut menerusi dana yang sama (Dana Taktikal Syariah PMB).
Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Mahani Ibrahim berkata, kemenangan itu bukti kesungguhan pengurus dana dan syarikat.
“Ia memberi inspirasi kepada warga kerja PMB Investment untuk terus memberikan pulangan konsisten kepada pelabur kami melalui amalan pengurusan dana yang teliti, di bawah naungan MARA Corporation Sdn. Bhd.,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, strategi syarikat adalah menyaingi pesaing lain, melibatkan respon yang lebih besar dan penyesuaian konsisten terhadap portfolio, seiring dengan keadaan pasaran.
“Sebagai hasilnya, prestasi luar biasa dana unit amanah kami, termasuk Dana Taktikal Syariah PMB menunjukkan keupayaan menempuh ketidakpastian pasaran dan memberikan nilai kepada pelabur kami,” ujarnya.
Mahani menegaskan, Dana Taktikal Syariah PMB menyediakan pelabur dengan strategi pembahagian aset taktikal, menawarkan fleksibiliti untuk menyimbang semula pembahagiannya antara kelas aset yang berbeza.
“Ia termasuk ekuiti patuh syariah, sekuriti berkaitan ekuiti patuh syariah, serta pelaburan bukan-ekuiti seperti sukuk, instrumen pasaran wang Islam, penempatan deposit Islam, dan pelaburan yang dibenarkan patuh syariah lain, berdasarkan keadaan pasaran,” katanya.
Beliau berkata, pembahagiannya kepada aset ekuiti atau bukan-ekuiti boleh berkisar antara 0 peratus dan 100 peratus daripada Dana Nilai Aset Bersih (NAV).
Ujarnya, Dana Taktikal Syariah PMB telah secara konsisten memberikan hasil yang mengagumkan dengan pulangan luar biasa sebanyak 70 peratus dalam tempoh lima tahun yang berakhir pada 31 Disember 2023.
Tambahan pula, katanya, ia mencatatkan pulangan sebanyak 23 peratus dalam tempoh tiga tahun dan 24 peratus dalam tempoh satu tahun, kedua-duanya berakhir pada 31 Disember 2023.
Melihat kepada prospek pasaran untuk 2024, Mahani berkata, cabaran yang bakal dihadapi adalah kemerosotan global.
“Bagaimanapun, saya optimis akan peluang pertumbuhan berpotensi dalam projek infrastruktur dan keputusan dasar kerajaan yang boleh meningkatkan keyakinan pelabur, terutamanya pelabur asing di pasaran tempatan. – UTUSAN










