Proton sumbang 500 buku, RM10,000 dana zakat di SMK Proton City - Utusan Malaysia

Proton sumbang 500 buku, RM10,000 dana zakat di SMK Proton City

ROSLAN bersama guru dan pelajar SMK Proton City yang menerima sumbangan bahan bacaan untuk perpustakaan sekolah tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton menyumbangkan sebanyak 500 koleksi bahan bacaan dan memperuntukkan dana zakat bernilai RM10,000 untuk menaik taraf kemudahan surau di SMK Proton City, Tanjong Malim, Perak.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, syarikat berhasrat untuk memberi inspirasi kepada pelajar agar cemerlang dalam akademik dan mengejar aspirasi mereka melalui sumbangan itu.

Jelasnya, Proton percaya dalam transformatif pendidikan dan yakin dapat memberikan inspirasi kepada pelajar dalam mengejar kerjaya masa depan mereka dengan memberikan akses rangkaian buku yang lebih luas.

Ujarnya, sumbangan terdiri daripada pelbagai bahan bacaan pendidikan termasuk buku rujukan hingga kesusasteraan, sejajar visi Proton memperkasakan generasi muda melalui pengetahuan dan pembelajaran.

“Di Proton, kami percaya dalam transformatif pendidikan. Dengan memberikan akses rangkaian buku yang lebih luas kepada pelajar, kami yakin dapat memberi inspirasi kepada pelajar dan membolehkan perjalanan pendidikan mereka ke ara penemuan diri dan mengejar kerjaya masa depan mereka.

“Selain itu, dana zakat RM10,000 diperuntukkan untuk menaik taraf kemudahan surau termasuk pemasangan bumbung dan mozek lantai untuk bahagian solat wanita, menyediakan persekitaran yang kondusif untuk menunaikan solat serta aktiviti lain.,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengetua SMK Proton City, Zalina Ahmad berkata, pihak sekolah berterima kasih terhadap sokongan Proton dan menyedari impak ketara akan berlaku terhadap program pendidikan mereka.

“SMK Proton City dan Proton mempunyai hubungan yang rapat dengan kira-kira 200 pelajar daripada keluarga pekerja Proton.

“Selama ini, Proton, Kesatuan Sekerja dan kakitangannya telah menyokong sekolah dan hari ini, kami amat berterima kasih atas sumbangan buku yang begitu banyak sekali,” ujarnya.

Tambahnya, sumber-sumber itu akan memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar SMK Proton City dan menyumbang kepada pertumbuhan akademik mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×