KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Jaafar Onn yang sebelum ini dimasukkan ke wad kritikal di Hospital Serdang akibat pendarahan ketika membuang air besar sudah dipindahkan ke wad biasa.
Perkembangan itu dikongsi anak angkat pelakon itu, Haniff tengahari tadi.
“Beliau dipindahkan ke wad biasa sekitar pukul 11 pagi tadi. Doktor menjelaskan pendarahan yang dialami mungkin berpunca pengambilan ubat tahan sakit berlebihan bagi jangkitan pada lapisan kulit kaki dialami beliau.
“Keadaannya masih lemah dan mukanya pucat. Selepas ini beliau akan menjalani prosedur mengeluarkan darah yang terkumpul dalam perut menggunakan tiub yang dimasukkan menerusi rongga hidung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jaafar pada semalam dimasukkan ke wad kritikal hospital berkenaan selepas dikesan mengalami pendarahan ketika membuang air besar.
Beliau dilaporkan mengalami keadaan tersebut sebanyak tiga kali sejak Julai tahun lepas.
Tekanan darah dan bacaan haemoglobin pelakon berusia 72 tahun itu juga berada pada tahap rendah.
Haniff pada masa sama mengesahkan tekanan darah Jaafar sekitar pagi tadi menunjukkan peningkatan.
“Namun beliau perlu menjalani rawatan memasukkan darah dalam badan untuk menstabilkan bacaan haemoglobin,” kongsinya.
Jaafar yang kali terakhir ditemui sewaktu majlis berbuka puasa anjuran Karyawan minggu lepas menyaksikan kesihatannya semakin merosot selain bergantung dengan kerusi roda untuk bergerak.











