JOHOR BAHRU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) negeri ini merampas sebuah lori yang membawa muatan tin sardin seberat 16 tan bernilai RM83,879.84.
Pengarahnya, Edie Putra Md. Yusof berkata, produk yang diimport masuk dari Singapura itu ditahan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini Rabu lalu kerana tidak mempunyai permit import.
“Kesemua 16 tan sardin dalam tin itu telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Edie Putra berkata, kenyataan pemandu lori yang merupakan seorang lelaki berusia 30 tahun telah dirakam bagi membantu siasatan.
“MAQIS komited menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan tiada perosak dan penyakit yang memasuki negara demi menjamin keselamatan makanan negara,” tegasnya. – UTUSAN









