SIMPULAN bahasa lupa daratan diungkapkan etnik Cina cauvinis kepada sesama Cina tidak cauvinis yang sangat memahami sejarah untuk bukan sahaja mengakui etnik Melayu sebagai pemilik tanah watan ini. Juga bagi berterima kasih kepada etnik Melayu kerana membenarkan etnik Cina yang mahu terus tinggal di sini setelah Inggeris yang membawa mereka masuk meninggalkan tempat ini.
Sehubungan rujukan ini, ia ibarat menuding satu jari kepada pihak tertentu, manakala empat jari lagi menunjuk kepada diri sendiri yang penuh kejahilan.
Pun begitu, etnik Cina cauvinis ini terlalu bebal untuk memahami keberadaan mereka di Tanah Melayu ini yang mana etnik Melayu adalah satu-satu tuannya. Manakala etnik bukan Melayu merupakan tetamu semata-mata.
Walaupun sebagai tetamu, etnik Cina khususnya bukan sahaja menjadi makmur, juga mendominasi segenap sisi kehidupan utama di tanah milik Melayu ini, terutamanya dalam bidang perniagaan, selain mendiami semua tempat penting.
Dalam hal ini, tidak disangkal etnik Cina bermula sebagai buruh kasar sahaja. Tetapi dengan dasar penjajah yang membuka luas Tanah Melayu ini kepada mereka, etnik Cina memanfaatkan segala peluang tersedia untuk pertama-tamanya meraikan keuntungan bagi diri sendiri.
Sumbangan mereka untuk ikut membina negara ini dari segi ekonomi, sebenarnya adalah hasilan sampingan semata-mata sesudah tercapai hasrat peribadi.
Dalam hal mengenang jasa baik etnik Melayu, terdapat ramai etnik Cina yang langsung menolaknya. Bagi mereka, kehadiran etnik Cina di sini adalah angkara British dan keadaannya adalah tiada sesiapa jua, lebih-lebih lagi etnik Melayu yang membantu setelah mereka tiba.
Begitu juga pandangan mereka kepada penjajah British sendiri yang membawa mereka masuk untuk kepentingan ekonominya. Bagi mereka, etnik Cina berusaha dengan tekun sekali selain membantu sesama sendiri untuk berjaya. Justeru mereka tiada apa-apa obligasi kepada sesiapa jua.
Sebenarnya etnik Cina sama sekali salah dalam hal ini, lebih-lebih lagi setelah mereka sendiri memilih untuk terus tinggal di Tanah Melayu ketika merdeka.
Dengan diberikan kerakyatan oleh etnik Melayu, etnik Cina memasuki rumah etnik Melayu, bukan lagi sekadar menginap di rumah tumpangan. Dengan ini, etnik Cina menjadi sebahagian daripada kelompok minoriti di Tanah Melayu.
Selaku minoriti, etnik Cina serta bukan Melayu yang lain, biarpun tinggal bersekali, tetap subordinat kepada etnik Melayu sebagai tuan rumah.
Tidak lagi seperti pada zaman penjajahan, etnik Melayu kini berada dalam kedudukan yang ada kuasa. Sehubungan ini, etnik Cina yang terus-terusan berjaya dalam bidang perniagaan, tidak dapat sesekali menafikannya kerana diizinkan etnik Melayu. Dengan ini, tanpa toleransi dan kebaikan etnik Melayu, usaha segigih mana sekali jua oleh etnik Cina tidak akan sesekali memastikan kejayaan mereka pada mana-mana tahap jua.
PENGHARGAAN
Etnik Melayu harus dipastikan dominan di tanah watannya sendiri. Mereka sepatutnya tidak sesekali dicabar dalam apa-apa jua bentuk dan cara, khususnya dalam bidang politik, untuk memperoleh kuasa sama rata dengan etnik bukan Melayu. Ini termasuklah hasrat etnik Cina yang belum lagi terintegrasi sepenuhnya, tetapi sudah berani mengimpikan jawatan perdana menteri untuk ikut memimpin etnik Melayu di bumi mereka sendiri.
Sesungguhnya negara ini walaupun ditanggapi etnik Cina khasnya, sebagai banyak menindas mereka dari segi peluang kemajuan diri, masih memberi banyak kelapangan, malah yang agam sekali kepada etnik Cina untuk mengaut keuntungan dalam pelbagai bidang, khususnya perniagaan. Untuk ini, sewajarnya etnik Cina wajib berterima kasih kepada etnik Melayu dalam semua hal.
Antaranya ialah layanan amat mesra mereka selaku tuan rumah. Dalam hal ini, etnik Cina Malaysia hendaklah bermunasabah diri dengan peristiwa silam tentang etnik Cina yang terpaksa mengungsi Vietnam. Begitu juga halnya di Kampuchia dan Indonesia yang mana ramai digugat, diusir dan dibunuh.
Di Filipina etnik Cina dinafikan kerakyatan. Di Thailand, meskipun tidak ditindas, etnik Cina setelah berasmilasi dengan penduduk asal telah hilang identiti Cina mereka. Sisi terhutang budi kepada etnik Melayu selaku tuan rumah bukan sahaja sangat tidak popular, malah amat menjelikkan bagi ramai etnik bukan Melayu.
Untuk ini, ada yang berhujah bahawa sekitar 40 peratus etnik Melayu di Tanah Melayu datang dari pelbagai tempat, walaupun dari Nusantara, iaitu Kepulauan Melayu mereka sendiri. Ini dilakukan untuk menyamaratakan taraf bagi semua yang kini menghuni Tanah Melayu ini.
Apa-apa jua hujahnya, Tanah Melayu ini dimiliki sepenuhnya oleh etnik Melayu. Walaupun etnik bukan Melayu menyumbang kepada pembangunan negara ini, sifir bahagian mereka secara sah bukan sesekali boleh ikut memiliki negara ini, tetapi hanya wujud bersekali dengan etnik Melayu.
Hal pemilikan etnik Melayu adalah fakta sahih dalam pelbagai sumber. Antara yang terpenting ialah sejarah penjajahan yang jelas memperlihat bahawa British selalu mengiktiraf hak etnik Melayu, dengan janji bahawa apabila menyerahkan kuasa kelak, British akan memberikan Tanah Melayu ini kembali kepada etnik Melayu sahaja.
Betul bahawa etnik Cina ikut membangunkan tempat ini, tetapi ini tidak sesekali menjaminkan mereka boleh terus tinggal di sini selepas merdeka. Ia hanya dibolehkan melalui ihsan etnik Melayu yang memberikan kerakyatan.
Untuk ini, etnik Cina sanggup menerima kedudukan istimewa etnik Melayu.
Oleh itu, walaupun setelah menjadi kaduk naik junjung, etnik Cina tidak boleh sesekali menjadi kacang lupakan kulit, apatah lagi lupa daratan.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










