Segala berkaitan PSI adalah `kerja menipu' - Jasmine

Segala berkaitan PSI adalah `kerja menipu’ – Jasmine

1MDB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo bersetuju dengan cadangan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa segala urusan dan transaksi membabitkan PetroSaudi International Ltd (PSI) adalah ‘kerja penipuan’ (con job).

Saksi pendakwaan ke-50 itu juga bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa pihak pengurusan 1MDB sepatutnya perlu menjalankan proses usaha wajar atau ‘due diligence’ ke atas PetroSaudi International Ltd (PSI) sebelum menyalurkan dana ke syarikat terbabit.

Keterangan Jasmine di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selari dengan keterangan yang pernah diberi oleh saksi pendakwaan kesembilan yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Pada 5 November 2018, Shahrol Azral ketika memberi keterangan memberitahu bahawa syarikat usaha sama 1MDB – PSI pada tahun 2009 merupakan sebuah syarikat yang gagal.

Menerusi perjanjian usaha sama pelaburan strategik terbabit, PSI memiliki pegangan saham sebanyak 60 peratus dengan suntikan dana AS$108 juta manakala pegangan saham selebihnya iaitu 40 peratus adalah milik 1MDB yang perlu menyuntik dana berjumlah AS$1 bilion.

Syarikat usaha sama itu pada mula berhasrat untuk melabur dalam GDF Suez dan kertas kerja pelaburan GDF Suez itu disediakan Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB ketika itu, Nik Faisal Ariff Kamil sebelum 5 Julai 2010.

Saksi itu menyatakan, Ahli Lembaga Pengarah 1MDB telah mendapatkan nasihat Najib ketika itu selaku Pengerusi sebelum melaburkan dana 1MDB ke dalam projek Suez namun syarikat terbabit tidak meneruskan pelaburan sebaliknya menyalurkan AS$500 juta kepada PSI menerusi program di bawah Murabaha.

Pada prosiding hari ini, Jasmine menafikan terdapat niat untuk memperdaya mana-mana pihak berkaitan syarikat itu.

Sebaliknya, saksi pendakwaan ke-50 itu berkata, setiap dokumen yang dikemukakan telah ditandatangani oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Seingat saya tiada niat untuk memperdayakan. Sepanjang ingatan saya, kesemua dokumen telah ditandatangani oleh pemegang saham (Najib) sebelum ditandatangani oleh lembaga pengarah,” kata wanita itu.

Beliau bagaimanapun tidak tahu siapa yang telah menyerahkan dokumen-dokumen terbabit kepada Najib untuk ditandatangani.

Jasmine berkata demikian ketika dirujuk dengan dokumen Resolusi Ahli Lembaga Pengarah (DCR) dan Resolusi Pemegang Saham Keutamaan Boleh Tebus Hak Istimewa (SRR) bertarikh 16 Mei 2011 berkait perjanjian pelaburan tambahan RM1 bilion dalam usaha sama 1MDB-PetroSaudi menerusi Perjanjian Pembiayaan Murabaha.

Selain itu, Jasmine turut menafikan beliau memberikan keterangan pada perbicaraan itu bagi menyelamatkan dirinya.

Sebaliknya, wanita terbabit menyatakan, keterangan yang diberikan adalah berdasarkan situasi yang berlaku pada ketika itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×