MELAKA: Seramai 21 individu daripada empat keluarga berputih mata selepas ditipu sebuah syarikat pengendali umrah yang beroperasi di negeri ini, membabitkan kerugian berjumlah hampir RM140,000.
Mangsa, Mastura Ab. Ghani, 59, berkata, dia dan suami, Azman Rahim, 59, tertarik dengan pakej umrah khas ditawarkan syarikat berkenaan dan membuat lima kali pembayaran secara ansuran bermula Ogos hingga Disember tahun lalu berjumlah RM31,250 untuk lima orang.
Katanya, setelah melunaskan bayaran, syarikat terlibat ada mengeluarkan surat tawaran ke tanah suci pada 13 Februari hingga 23 Februari 2024.
“Bagaimanapun, terdapat kesilapan dalam surat tersebut seperti jenis penerbangan serta kami tidak dimaklumkan tempat penginapan di Mekah dan Madinah. Kesilapan itu kemudiannya dibetulkan dan kami sempat menghadiri kursus umrah yang turut dihadiri pemilik syarikat berkenaan.
“Dua hari sebelum bertolak kami dimaklumkan tiket penerbangan ditunda ke 20 Februari dan kami akur. Selepas itu sekali lagi kami diberitahu tiket ke Mekah gagal ditempah membuatkan kami bersama jemaah umrah yang lain semakin hilang sabar.
“Akhirnya pihak pengurusan meminta suami mengisi borang permohonan pemulangan wang. Namun sehingga kini duit saya masih belum dikembalikan,” katanya dalam sidang akhbar khas di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh di sini, hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.
Tambah Mastura, dia mendapat tahu syarikat itu telah ditutup sejak Mei 2023 dan selepas itu beroperasi tanpa lesen.
Menurutnya, laporan polis dibuat pada 6 Mac lalu di Balai Polis Melaka Tengah dan turut dilaporkan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna, dua hari kemudian.
“Segala bukti dan surat menyurat telah kami kumpulkan. Dalam pengetahuan saya ada empat keluarga yang terlibat membabitkan kira-kira 21 orang.
“Hancur harapan kami kerana duit yang kami bayar bukan jatuh dari langit. Kalau tidak dapat pergi sila pulangkan supaya kami boleh pergi melalui ejen yang jujur,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Shuhadah Z. Mokhtar, 41, berkata, dia kerugian kira-kira RM60,000 selepas membuat pembayaran bagi pakej sembilan ahli keluarganya termasuk untuk ibu dan ayah yang uzur. – UTUSAN











