SEREMBAN: Sebanyak kira-kira 5,643 kilogram (kg) makanan dan minuman dengan anggaran nilai sebanyak RM 62,073.44 berjaya diselamatkan daripada dibuang ke tapak pelupusan dari tujuh buah lokasi bazar Ramadan di negeri ini sehingga Jumaat lalu.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Hazahar Hashim berkata, jumlah berkenaan membabitkan peningkatan 24 peratus berbanding pada tahun lalu.
“Pada tahun lalu, sebanyak 4,547.10 kg makanan dan minuman dengan anggaran nilai sebanyak RM50,279.17 telah berjaya diselamatkan ke tapak pelupusan.
“Program serta kempen Hargai Makanan Elakkan Pembaziran MySafe Food yang dilancarkan pada 14 Mac lalu adalah bertujuan menasihatkan peniaga bazar Ramadan agar tidak membazir dan mengumpulkan serta makanan yang tidak terjual supaya dapat diagihkan kepada golongan yang memerlukan seperti gelandangan, rumah anak yatim serta rumah-rumah kebajikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Ihya Ramadan Bersama Jabatan, Agensi dan Masyarakat Setempat di Bazar Ramadan Bandar Baru Nilai di sini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan (ADUN) Nilai.
Pada majlis itu, turut diadakan, pengagihan sebanyak 3,000 bekas makanan berisi lemang dan rendang kepada orang ramai di samping program Trash To Cash, Free Market serta Pengumpulan Minyak Masak Terpakai dan Fabrik Terpakai Bandar Baru Nilai.
Hazahar dalam pada itu berkata, pada program itu, pihaknya berjaya mengumpulkan sebanyak 200 kg minyak terpakai dengan nilai diperoleh sebanyak RM600.
“Minyak masak terpakai ini akan dikitar semula menjadi biodiesel untuk kegunaan jentera seperti kapal terbang dan alternatif bahan api yang bersih. Saya mengajak lebih ramai masyarakat menyalurkan minyak masak terpakai dalam usaha menjaga alam sekitar dan ekosistem di negeri ini.
Pada masa sama, usaha ini dapat menjana pendapatan melalui pertukaran minyak masak terpakai dengan wang tunai iaitu RM3 sekilogram. Kami juga mendapat kerjasama baik daripada peniaga di bazar Ramadan bagi mengumpulkan minyak masak terpakai ini,” katanya.-UTUSAN.










