Sengketa mafia Israel merebak ke KL

Sengketa mafia Israel merebak ke KL

KERATAN muka depan Mingguan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang me­nyiasat semua dakwaan berkaitan lelaki Israel yang ditahan di Ampang, Rabu lalu termasuk kemungkinan dia dalam misi membunuh seteru ketua kumpulan mafia lain.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan semua aspek sedang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman termasuk mengenal pasti kemungkinan terdapat penglibatan individu lain yang dikaitkan dengan lelaki Israel berusia 36 tahun yang ditahan itu.

“Kita akan menyiasat dakwaan suspek masuk ke negara ini bagi membunuh pemimpin kumpulan jenayah seteru di Israel yang dikatakan berada di Malaysia.

“Kita akan siasat semua kemungkinan, termasuk dakwaan-dakwaan daripada semua sumber berita,’’ katanya semalam.

RAZARUDIN HUSAIN

Menurut Razarudin, polis akan mendapatkan perintah reman terhadap lelaki tersebut hari ini mengikut Akta Senjata 1960 kerana suspek ketika ini disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Pasport 1966.

Terdahulu, portal The Times of Israel melaporkan, warga Israel, Shalom Avitan yang ditahan polis bersama enam pistol serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, Rabu lalu dilaporkan datang ke Malaysia untuk membunuh ketua keluarga sebuah kumpulan penjenayah seteru di Israel.

Menurut The Times Of Israel, berdasarkan laporan berita berbahasa Ibrani, suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah bersaudara Musli Brothers.

Berdasarkan laporan portal berita Mako pula, Avitan dipercayai mempunyai misi untuk membunuh Eran Haya iaitu ketua keluarga daripada kumpulan penjenayah seteru.

Menurut Saluran 12, rumah Avitan di kejiranan mewah Bavli, Tel Aviv, adalah sasaran beberapa bom tangan yang dilemparkan oleh ‘orang’ Haya.

“Insiden itu dilaporkan pada pertengahan Mac, dipercayai sebelum Avitan dikatakan memasuki Malaysia.

“Kedua-dua sindiket terbabit dalam perbalahan ganas selama berbulan-bulan,” katanya.

Mungkin masuk sebagai koordinator

Sementara itu, satu sumber keselamatan berkata, siasatan polis ke atas lelaki Israel itu kini fokus kepada kemungkinan suspek masuk ke Malaysia sebagai koordinator bagi mengupah beberapa individu melakukan pembunuhan di negara ini.

Kata sumber, suspek dipercayai mengupah beberapa individu dengan bayaran lebih setengah juta ringgit untuk mencari dan membunuh individu tertentu yang polis sedang mengenal pasti identiti individu yang menjadi sasarannya.

“Kemungkinan siasatan tertumpu kepada peranan lelaki terbabit bergerak sebagai koordinator untuk mengupah beberapa individu lain yang terdiri dalam kalangan warga asing untuk melakukan perbuatan itu.

“Polis tidak menolak kemungkinan suspek mengupah rakyat Thailand, Filipina atau mana-mana warga asing yang sanggup membuat serangan tersebut kerana upah ditawarkan sampai setengah juta ringgit,” kata sumber.

Ditahan bersama enam senjata api

Namun, kata sumber itu lagi, misi suspek tergendala apabila dia ditahan bersama enam senjata api yang dibeli menggunakan mata wang kripto.

Selain itu, sumber sama berkata, polis juga sedang menyiasat sama ada suspek pernah masuk ke negara ini sebelum ini.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung gesaan Pemuda Bersatu supaya siasatan ke atas lelaki Israel itu dijalankan di bawah Penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

“Kita mungkin bincang dahulu dengan AGC untuk siasat di bawah Sosma,” ujarnya.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan,siasatan polis menjurus sama ada suspek itu adalah ejen perisikan yang diupah untuk melakukan serangan terhadap individu tertentu di negara ini atau sebaliknya.

Memetik sumber, suspek itu disyaki telah menawarkan upah kepada individu disyaki rakyat tempatan dengan bayaran lebih RM500,000 untuk mencari dan membunuh seseorang.

Bagaimanapun, sumber dilaporkan berkata, identiti penama berkenaan tidak dapat dipastikan sama ada rakyat Israel yang didakwa dicari suspek berkenaan ketika ditahan atau sasaran lain terdiri individu berprofil tinggi di negara ini.

“Suspek memperoleh enam senjata api dan 200 peluru daripada pasangan suami isteri warga tempatan berusia 41 dan 43 tahun yang ditahan di bazar Ramadan di Kuala Selangor pukul 7.30 malam kelmarin selain kedua-dua mereka mengakui telah menyerahkan empat pucuk senjata api kepada lelaki Israel itu.

“Pasangan itu telah membeli senjata api berkenaan di Thailand atas arahan seorang individu warga asing yang dikenali atas talian untuk diserahkan kepada seorang lelaki disyaki rakyat Israel itu.

“Namun satu daripada senjata yang diserahkan dipulangkan semula lelaki berkenaan kepada pasangan itu sebelum disimpan di dalam bonet kenderaan jenis Honda Jazz miliknya,” katanya.

Razarudin semalam dilaporkan berkata, kedua-dua mereka direman tujuh hari bagi siasatan mengikut Akta Senjata 1960.

Turut ditahan, seorang lelaki dipercayai pemandu suspek Israel sejak dia memasuk negara ini pada 12 Mac lalu.

Guna pasport Perancis 

Jumaat lalu, seorang lelaki warga Israel menggunakan pasport negara Perancis untuk masuk ke ibu negara terbongkar selepas dia ditahan sebelum menemukan enam pucuk senjata api bersama 200 butir peluru.

Suspek yang masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki penerbangan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia.

Pemeriksaan di bilik hotel menemukan semua senjata api jenis Glock 19 Marine, Glock 17 Gen 4 ; Smith and Wesson ; Sih Sauer dan Stoeger serta peluru yang diletakkan di dalam beg miliknya dan siasatan mendapati kesemua senjata berkenaan dibeli suspek sebaik tiba di negara ini dengan menggunakan mata wang kripto.

Kehadiran lelaki itu di negara ini didakwa bagi membunuh seorang rakyat Israel disyaki berada di negara ini berhubung isu keluarga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×