Sosma beri masa polis siasat lelaki Israel

Sosma beri masa polis siasat lelaki Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) terhadap lelaki Israel ditangkap Polis Diraja Malaysia (PDRM) membolehkan lelaki itu disiasat lebih lama sebelum dia dihadap ke mahkamah.

Pakar Geostrategi, Dr. Azmi Hassan berkata, ketika ini juga masa terbaik memberi persepsi bagaimana negara memerlukan akta seperti Sosma kerana sebelum ini ia berada pada konotasi negatif dan disalahgunakan.

“Jika akta itu digunakan terhadap isu rakyat Israel, maka ia boleh memberi gambaran bahawa akta Sosma penting jika dibandingkan dengan undang-undang jenayah biasa.

“Yang dituduh perlu dihadapkan ke mahkamah secepat mungkin tetapi di bawah Sosma memberi 28 hari tanpa perbicaraan kepada PDRM untuk sesi soal siasat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rabu lalu, polis menahan seorang lelaki Israel bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang.

Lelaki berusia 36 tahun itu dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac dengan menggunakan pasport Perancis.

Sementara itu, Felo Penyelidik Institut Kajian Analisis Politik Malaysia (MAPAN) Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd. Afifi Abdul Razak berkata, penggunaan Sosma perlu mengambil pendekatan yang bijak oleh pihak berkuasa.

“Akta Sosma adalah alat berkuasa yang direka untuk menangani ancaman besar terhadap keselamatan negara dan penggunaannya harus dihadkan kepada kes-kes yang mana terdapat bukti meyakinkan tentang ancaman tersebut.

“Penggunaannya secara berlebihan atau salah boleh menyebabkan kritikan terhadap kerajaan dan tuduhan pelanggaran hak asasi manusia,” katanya.

Beliau berkata, implikasi diplomatik menggunakan Sosma terhadap warganegara Israel harus dipertimbangkan dengan teliti susulan Malaysia telah menjadi penyokong kuat perjuangan Palestin.

“Sebarang tindakan yang diambil terhadap warganegara Israel boleh dianggap sebagai kenyataan politik.

“Adalah penting untuk memastikan keputusan menggunakan Sosma dibuat berdasarkan alasan undang-undang yang jelas dan tidak dipengaruhi oleh pertimbangan politik,” ujarnya.

Mohd. Afif pada masa sama menyarankan pihak berkuasa Malaysia mengutamakan siasatan yang menyeluruh dan saksama terhadap kes melibatkan warganegara Israel tersebut.

“Keputusan untuk menggunakan akta Sosma harus dibuat berdasarkan bukti kukuh ancaman keselamatan yang sebenar selain memastikan hak suspek dilindungi dan proses yang wajar diikuti,” katanya.

Selain itu, katanya, terdapat undang-undang lain yang mampu membantu pihak berkuasa mengumpul maklumat dan menjalankan siasatan berkaitan dengan ancaman keselamatan.

“Antaranya Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Langkah-Langkah Khas Terhadap Keganasan di Negara Asing 2015 (SMATA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA).

“Selain itu, beberapa seksyen dalam Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan jenayah terancang, pemilikan senjata api, dan aktiviti yang memudaratkan keselamatan negara boleh digunakan.

“Undang-undang ini dan Akta Sosma menyediakan pelbagai alat dan kuasa kepada PDRM untuk menyiasat dan menangani ancaman keselamatan negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×