KOTA BHARU: Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) sudah menggerakkan pelan tindakan persiapan menghadapi sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan bekalan air dapat dinikmati oleh seluruh rakyat negeri ini sepanjang tempoh tersebut.
Pemangku Pengurus Besarnya Izani Ismail berkata, pelan itu melibatkan kerja-kerja menyelenggara semua telaga tiub di loji yang menggunakan air bawah tanah sebagai sumber utama.
Menurutnya, pada masa sama kerja-kerja tersebut turut seluruh Loji Rawatan Air (LRA) serta agihan air di semua jajahan.
“Kita (AKSB) turut dilaksanakan kerja-kerja pencucian serta mendalamkan muka sauk dan pam air mentah di luar muka sauk sungai di LRA yang menggunakan air sungai sebagai sumber.
“AKSB juga melaksanakan kerja-kerja menyelenggara jejari (blow) di Horizontal Collector Well (HCW) di Sungai Bagan, Machang dan HCW Kampung Smuba di Pasir Mas, bagi meningkatkan bekalan air mentah di loji,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Izani memberitahu, bagi memastikan bekalan air mencukupi, AKSB turut mengoperasikan telaga tiub di bawah seliaan Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan.
Katanya, lori tangki AKSB dan lori air kontrak juga berada dalam keadaan siap siaga bagi menghantar bekalan air ke premis pengguna yang memerlukan sepanjang tempoh perayaan ini.
Dalam perkembangan lain, Izani berkata, AKSB juga sedang melaksanakan beberapa pelan jangka masa pendek dan jangka masa panjang untuk pembangunan bekalan air di negeri ini.
“Antara projek jangka pendek termasuklah pembinaan LRA Chicha 2 yang dijangka siap pada Januari 2026, menaiktaraf LRA Tanjung Mas yang dijangka siap pada tahun 2027 dan pembinaan LRA Bukit Chupak yang dijangka siap pada pertengahan tahun 2025.
“Manakala antara pelan jangka masa panjang pula membabitkan cadangan pembinaan paip utama serta tangki perkhidmatan dengan anggaran kos RM520 juta yang akan menyalurkan air terawat di seluruh Kelantan Utara,”katanya.-UTUSAN










