PASIR GUDANG: Isu kesesakan di pintu masuk utama negara di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) adalah antara perkara utama diberikan tumpuan oleh setiap Menteri Besar Johor.
Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mana-mana Menteri Besar di negeri ini termasuk dirinya mempunyai pendekatan tersendiri dalam menangani isu itu.
Katanya, tindakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang kerap membuat lawatan mengejut ke BSI mungkin menjadi jalan terbaik bagi menyelesaikan perkara tersebut.
“Setiap Menteri Besar ada pendekatan masing-masing (bagi menyelesaikan isu kesesakan di Tambak Johor).
“Akhirnya dalam setiap pilihan raya, rakyat yang akan tentukan sama ada betul atau tidak,” katanya selepas Program Bantuan Khas Persekolahan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) anjuran UMNO bahagian itu dan Yayasan Pelajaran Mara 2024 di Dewan Muafakat Taman Dahlia, di sini, hari ini.
Pada Ahad lalu, Onn Hafiz dalam satu hantaran dalam Facebook meluahkan rasa kecewa apabila 13 kaunter di laluan kereta di BSI ditutup hingga menyebabkan berlaku kesesakan.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM), Ajeet Singh Gurbax Singh menjawab hantaran Onn Hafiz memberitahu Menteri Besar itu supaya memberi tumpuan kepada isu rakyat khususnya membabitkan golongan B40. – UTUSAN











