Gagal sekali bukan bererti penamat. Itu azimat yang digenggam Pengarah Urusan merangkap Pengasas bersama BloomThis, Penny Choo, 35.
Sebelum berjaya membangunkan empayar jualan bunga, BloomThis yang berdiri gah kini, Penny pernah berdepan kegagalan perniagaan sebelumnya, juga berkaitan dengan bunga.
Namun, sikap tidak kenal erti putus asa dan keazaman tinggi berjaya membantu anak kelahiran Hulu Langat, Selangor ini untuk terus bangkit dan belajar daripada kesilapan lama.
Perniagaan berkaitan bunga yang diusahakan pada 2013 secara e-dagang tidak bertahan lama dan terpaksa dihentikan operasi.
Kata Penny, ia mungkin berpunca atas pelbagai sebab termasuk dirinya yang masih kurang ilmu perniagaan.
“11 tahun lalu saya mengusahakan perniagaan bersama rakan kongsi, Giden Lim yang kini merupakan suami.
“Mungkin waktu itu terlalu awal untuk sektor e-dagang dan kami bermula semula dari bawah dan belajar selok-belok perniagaan bunga dengan lebih baik termasuk rajin bertanya dengan mereka yang berpengalaman,” katanya ketika ditemui Seri baru-baru ini.
Jauh sekali mahu menyerah, sebaliknya, kegagalan itu menjadi titik-tolak buat dirinya untuk berusaha dan belajar dengan lebih bersungguh-sungguh dalam membangunkan empayar perniagaan.
Keazaman itu tidak sia-siakan apabila perniagaan yang dibangunkan sejak sembilan tahun lalu menerima pelbagai pengiktirafan daripada banyak entiti.
Antaranya, Anugerah Platinum Pemasaran Terbaik SOBA 2021 The Star dan Ambank BizRace Musim 3: Juara Digitalisasi.
Malah, beliau terpilih sebagai Usahawan Wanita Paling Menyerlah ASEAN 2022 di Sidang Kemuncak CEO Wanita ASEAN yang lalu.
Sebagai peminat bunga, busana yang dipakai semasa sesi temubual juga merupakan maxi sarat bermotifkan floral.
Katanya, bunga mempunyai makna tersendiri dan melambangkan cinta dan kebahagiaan seseorang.
Oleh itu, budaya memberi bunga dan hadiah akan jadi lebih bermakna dengan gubahan yang terkini, menarik dan unik.
Sementelah, wanita anggun ini juga gemar melakukan sesuatu yang mampu menggembirakan orang lain seperti gubahan hadiah, bunga dan sebagainya.
Pendek kata, perniagaan bunga ini sememangnya kena dengan jiwanya.
TIDAK MUDAH
Mengakui bukan mudah untuk menguruskan perniagaan apatah lagi, bukan lulusan di bidang itu.
Sebaliknya, beliau adalah graduan Sains Makanan dan Nutrisi dari Universiti UCSI.
Namun, itu bukan penghalang untuknya menceburi bidang perniagaan bunga.
Beliau bertatih sedikit demi sedikit membesarkan empayar perniagaan.
Daripada sebuah apartment kediaman, kini sudah mempunyai gudang bunga sendiri.
“Saya ingat lagi waktu mula-mula dulu bunga disimpan dalam peti sejuk di rumah. Saya keluarkan semua makanan serta minuman dan peti sejuk dipenuhi dengan bunga.
“Saya juga jadikan bilik tidur ala-ala bilik sejuk menyimpan bunga segar dengan menghidupkan pendingin hawa selama 24 jam.
“Apabila perniagaan makin berkembang, saya berpindah ke rumah ibu di Cheras kerana ruang yang lebih besar dan pada 2017 kami beroperasi di rumah kedai di Damansara kerana kapasiti bunga makin bertambah,” ujarnya lagi.
Hujung 2021, penat lelahnya membuahkan kemanisan apabila mampu membuka gudang bunga yang di Petaling Jaya.
Gudang yang menempatkan lebih 100 pekerja itu menjadi saksi segala titik peluh Penny dan suami membangunkan empayar bunga.
Ditanya soal cabaran, katanya, itu adalah asam garam dunia perniagaan, apatah lagi terlibat dalam jualan bunga segar.
“Bukan mudah mengendalikan bunga segar kerana ia mudah layu dan memerlukan penjagaan rapi. Faktor cuaca kita yang tidak menentu juga kadangkala mempengaruhi kualiti bunga,” jelasnya.

KENAPA BUNGA
Sepanjang perjalanan mendapatkan ilmu daripada individu berpengalaman, Penny dan Giden sering diajukan pertanyaan mengapa memilih industri ini.
Rata-rata ditemui menyifatkan perniagaan itu tidak mampu bertahan lama.
Namun, pemerhatiannya mendapati industri bunga tempatan masih belum ada yang utama atau dikenali seperti sektor lain.
Hal itu kerana, jualan bunga biasanya hanya melibatkan warga emas yang membuka kedai secara kecil-kecilan atau gerai di tepi jalan.
Sistem pembelian bunga juga masih secara tradisional yang memerlukan pembeli mengunjungi kedai untuk tempahan dan tempoh masanya juga agak lama.
Melalui BloomThis, Penny memberikan nafas baharu dalam industri itu melalui sistem dan gubahan bunga yang lebih unik dan terkini.
“Saya mahu ubah cara orang beli bunga atau hadiah menerusi sistem pembelian yang lebih cekap dan selesa untuk meningkatkan pengalaman
pengguna.
“Sebabnya, bunga dan cenderahati adalah sesuatu yang unik terutama jika ingin dihadiahkan kepada seseorang,” katanya lagi.
IBU BAPA PENYOKONG TEGAR
Kata Penny, kejayaannya tidak datang bergolek sekiranya tiada sokongan daripada orang tua.
Sejak awal pembabitannya dalam perniagaan, ibu bapa sentiasa menjadi tulang belakang dalam segala hal.
“Ibu membenarkan saya menggunakan rumahnya untuk memproses dan menyimpan bunga kerana waktu itu pangsapuri saya sudah tidak mampu menampung kapasiti bunga yang banyak.
“Keadaan rumah ibu sangat kotor dan berselerak kerana kami menerima tempahan bunga dan cenderahati yang banyak tetapi dia faham kerja saya.
“Malah, ibu dan ayah sanggup membantu menguruskan dan menjaga anak perempuan tunggal saya sehingga kini kerana faham kesibukan kami menguruskan perniagaan,” jelasnya.
Katanya, dengan bantuan yang cukup bermakna itu beliau mampu fokus kepada pembangunan perniagaan bersama suami kerana tahu anaknya berada di tangan yang selamat iaitu bersama datuk dan neneknya.
“Saya hanya menghantar anak ke sekolah pada waktu pagi dan kemudian ayah mengambilnya pulang dari sekolah manakala ibu pula menjaganya sehingga saya pulang dari bekerja.
“Saya sangat bersyukur kerana dikurniakan ibu bapa yang sangat memahami dan menyokong kerjaya saya,” ujarnya terharu.
Selain itu, beliau turut menghargai sokongan pelanggan yang membantu melonjakkan perniagaannya ke tahap ini.
IMPAK KEPADA KOMUNITI
Memasuki tahun kesembilan, jenama itu sudah melebarkan sayap ke beberapa negeri iaitu Pulau Pinang dan Johor di samping menembusi pasaran
Singapura.
Ia bertujuan mengembangkan lagi operasinya dengan memasuki peruncitan secara fizikal di Lembah Klang.
Perkembangan berkenaan, memberi impak kepada komuniti dengan menawarkan pekerjaan kepada orang ramai.
“Perniagaan kami ini juga menyokong pekerjaan seperti pekerja penghantaran dan penggubah bunga sambilan untuk menjana pendapatan.
“Kami juga akan mengembangkan lagi perniagaan kepada beberapa bandar dan negeri untuk capaian yang menyeluruh,” jelasnya. – UTUSAN










