IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus memberi perhatian serius kejadian melempar bom petrol ke dalam kedai serbaneka KK Mart di Bidor baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Dewan Negara Perak Istana Kinta hari ini, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin berkata, Sultan Nazrin menitahkan perkara itu selepas baginda disembah maklum oleh PDRM mengenai kejadian tersebut yang berlaku pada Selasa lalu.
“Baginda menyifatkan perbuatan permulaan yang berlaku itu merupakan petanda yang membimbangkan dan hendaklah diberikan perhatian yang serius melalui tindakan tegas agar api perkauman segera dibendung daripada merebak lebih luas.
“Baginda percaya majoriti rakyat Malaysia bersikap rasional, moderat dan mengutamakan hubungan harmoni dan keamanan.
“Baginda memberi jaminan untuk memberikan naungan dan perlindungan kepada setiap rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan menganut agama, secara adil dan saksama agar dapat terus hidup dalam rukun dan damai, sama sama membina dan membangunkan negara yang aman lagi makmur,” katanya.
Dalam kejadian Selasa lalu, sebuah kedai KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor dilempar objek dipercayai bom petrol oleh dua individu tidak dikenali yang menaiki sebuah kereta.
Penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai serbaneka tersebut oleh pihak polis mengesan individu yang terlibat dalam kejadian itu.
Usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat. – UTUSAN










