Tembikai istimewa Tahfiz al-Quran Al-Ahmad - Utusan Malaysia

Tembikai istimewa Tahfiz al-Quran Al-Ahmad

AHMAD Firdaus Mohd. Mazlan Kushar (kiri) dan Shrol Hisam memberi pengalaman kepada pengunjung untuk memetik sendiri buah golden melon yang ingin dibeli di Maahad Tahfiz al-Quran Al-Ahmad, Tapah. – UTUSAN/MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Kebiasaannya madrasah atau sekolah pondok akan sibuk dengan pelbagai aktiviti seperti tadarus al- Quran, solat sunat tarawih secara berjemaah atau memenuhi jemputan berbuka puasa sepanjang Ramadan.

Namun, Maahad Tahfiz al-Quran Al-Ahmad mengambil kesempatan cuaca panas mutakhir ini dengan menjual golden melon selain menjana pendapatan sampingan.

Pengasasnya, Ahmad Firdaus Mohd. Mazlan Kushari, 39, berkata, keunikan konsep jualan di tahfiz tersebut ialah pengunjung boleh memetik sendiri buah tembikai itu tanpa terhad pada kuantiti tertentu.

“Sebenarnya, kami berbuat sedemikian supaya pengunjung dapat merasai pengalaman yang berbeza berada di dalam rumah hijau ibarat seorang petani.

“Selain itu, ada kakitangan kami akan memberikan khidmat nasihat seperti cara memilih buah yang telah masak, berkualiti dan cara memotong tangkai serta tali buah yang betul supaya tembikai itu boleh bertahan lebih lama walaupun bukan suhu yang sama seperti di dalam peti sejuk,” katanya di sini semalam.

Katanya lagi, buah golden melon itu enak dimakan semasa berbuka puasa selain boleh dijadikan jus yang lazat.

“Kami bersyukur kerana mendapat bantuan serta khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian Perak.

“Jika tiada aral melintang tambahan 1,000 pokok buah ini akan diusahakan nanti yang menjadikan jumlah keseluruhannya ialah 2,000 pokok.

“Kebanyakan pembeli pelanggan sekitar daerah ini, Kuala Lumpur, Selangor dan Singapura kerana kami juga melakukan promosi melalui Facebook, IG, Shopee dan Tik Tok Live,” katanya.

Dalam pada itu, pengurus projek yang juga salah seorang tenaga pengajar, Shrol Hisam, 40, berkata, buah tembikai berkualiti tinggi itu dijual dengan harga RM15 sekilogram (kg).

“Sepanjang bulan Ramadan ini saya jangkakan 1,000 kg buah dapat dihasilkan untuk kegunaan tahfiz sendiri dan jualan pada orang ramai,” katanya.

Tahfiz itu merupakan yang pertama di negara ini mengusahakan tanaman golden melon secara komersial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×